Skip to main content

Malaysia

PM Anwar hadir sesi kelayakan F1, tinjau persiapan perlumbaan di Sepang

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini menghadiri sesi kelayakan Formula Satu (F1) Grand Prix (GP) Gulf Air Bahrain di Malaysia di Litar Antarabangsa Sepang (SIC), selain meninjau persiapan dan keseluruhan perjalanan perlumbaan itu. - Foto FB Anwar Ibrahim
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini menghadiri sesi kelayakan Formula Satu (F1) Grand Prix (GP) Gulf Air Bahrain di Malaysia di Litar Antarabangsa Sepang (SIC), selain meninjau persiapan dan keseluruhan perjalanan perlumbaan itu. - Foto FB Anwar Ibrahim

Advertisement

SEPANG: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini menghadiri sesi kelayakan Formula Satu (F1) Grand Prix (GP) Gulf Air Bahrain di Malaysia di Litar Antarabangsa Sepang (SIC), selain meninjau persiapan dan keseluruhan perjalanan perlumbaan itu.

Anwar tiba kira-kira pukul 4.50 petang dan disambut Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar, Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Petronas Tan Sri Tengku Muhammad Taufik serta Pengerusi SIC Datin Anita Azrina Abdul Aziz.

Beliau kemudian melakukan lawatan selama 15 minit ke kawasan pit pasukan Mercedes-AMG Petronas.

Selepas sesi kelayakan, Anwar menghadiri majlis makan malam anjuran Putera Mahkota merangkap Perdana Menteri Bahrain, Putera Salman bin Hamad Al-Khalifa di kawasan paddock.

F1 GP Gulf Air Bahrain di Malaysia bermula semalam dengan sesi latihan bebas pertama dan kedua, diikuti sesi latihan bebas ketiga serta sesi kelayakan hari ini.

Perlumbaan utama membabitkan 56 pusingan dijadual bermula pukul 3 petang esok.

Penganjuran itu menandakan kepulangan F1 ke Sepang selepas sembilan tahun, dengan perlumbaan terakhir di litar berkenaan diadakan pada 2017.

Pada Julai, Formula 1 dan Persekutuan Automobil Antarabangsa (FIA) mengesahkan Malaysia sebagai tuan rumah F1 GP Gulf Air Bahrain dari 2 hingga 4 Oktober, susulan persetujuan melibatkan kedua-dua badan itu serta kerajaan Malaysia dan Bahrain.

Persetujuan berkenaan membolehkan GP Bahrain kekal dalam kalendar F1 2026 selepas perlumbaan asal tidak dapat berlangsung di Bahrain susulan situasi serantau.

Kepulangan F1 ke Malaysia turut melibatkan perbincangan dan kerjasama antara Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim dengan Raja Bahrain, Raja Hamad bin Isa Al-Khalifa, selain kedua-dua kerajaan.

Sepang mula menganjurkan F1 pada 1999 dan menjadi tuan rumah GP Malaysia sehingga 2017.

Must Watch Video

Advertisement