HANOI: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim akan mengadakan lawatan kerja dua hari ke Vietnam bermula hari ini dan dijadualkan untuk menyampaikan ucaptama di ASEAN Future Forum (AFF) 2025, menurut kenyataan Wisma Putra.

Forum yang berlangsung esok, merupakan platform perbincangan inklusif dan dialog dalam kalangan pemimpin ASEAN, pembuat dasar, pakar, badan pemikir, peneraju perniagaan dan pihak berkepentingan mengenai hala tuju masa depan ASEAN.

"Dalam ucaptama beliau, Perdana Menteri akan menekankan komitmen Malaysia terhadap nilai-nilai MADANI dan aspirasi Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN bagi tahun 2025 serta mengetengahkan keutamaan dan keberhasilan Malaysia tahun ini, termasuk usaha mempromosikan pembangunan ekonomi yang inklusif dan mampan, transformasi digital, perubahan iklim, dan tenaga boleh diperbaharui," menurut kenyataan itu.

Menurut kenyataan itu, Anwar juga akan mengadakan kunjungan hormat ke atas Setiausaha Agung Jawatankuasa Pusat Parti Komunis Vietnam To Lam dan Presiden Republik Sosialis Vietnam Luong Cuong serta bertemu dengan Perdana Menteri Vietnam, Pham Minh Chinh.

"Pertemuan ini akan memberi peluang kepada kedua-dua negara merangka hala tuju yang jelas dalam memperkukuh kerjasama dua hala di bawah kerangka Perkongsian Strategik Komprehensif.

"Perbincangan akan berfokus kepada bidang strategik, termasuk perdagangan dan pelaburan, pertahanan dan keselamatan, ekonomi maritim, sains dan teknologi, tenaga, pelancongan, serta usaha bersama menangani aktiviti penangkapan ikan secara haram, tidak dilaporkan dan tidak terkawal (IUU).

"Para pemimpin juga dijangka bertukar pandangan mengenai isu-isu serantau," menurut kenyataan itu.

Kenyataan itu memaklumkan, lawatan tersebut mencerminkan komitmen Malaysia untuk memperkukuh hubungan dengan Negara-Negara Anggota ASEAN, selaras dengan tema Pengerusi ASEAN Malaysia iaitu "Keterangkuman dan Kemampanan".

Lawatan ini juga dapat memperkukuh hubungan dua hala antara Malaysia dan Vietnam serta memperluas kerjasama di peringkat serantau dan antarabangsa.

Perdana Menteri dijangka tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Noi Bai, Hanoi, petang ini. - BERNAMA