Turut menyertai sesi ini adalah bekas Perdana Menteri Thailand merangkap Ketua Kumpulan Penasihat Tidak Rasmi Kepada Pengerusi ASEAN 2025, Thaksin Shinawatra.
Antara topik perbincangan utama ialah isu Myanmar dan menggerakkan proses penglibatan dengan semua pihak berkepentingan, kebimbangan terhadap isu ekonomi dan pasaran gelap, termasuk penyeludupan dadah, pemerdagangan manusia serta penipuan dalam talian.
“Antara disentuh adalah terkait situasi di Myanmar, yang mana walaupun negara itu terikat dengan Konsensus Lima Perkara, namun segala ikhtiar harus digerakkan untuk meneruskan proses penglibatan dengan semua pihak berkepentingan.
“Kami juga menyatakan kebimbangan terhadap peningkatan masalah yang berpunca daripada ekonomi atau pasaran gelap, didominasi oleh penyeludupan dadah, pemerdagangan manusia, serta penipuan dalam talian atau scam yang berleluasa.
“Kami turut membincangkan solusi terbaik untuk mencapai trajektori positif dalam usaha menyelesaikan krisis di Myanmar serta memastikan semua Menteri Luar negara ASEAN sentiasa dimaklumkan mengenai perkembangan ini,” kata Anwar dalam kemas kini di media sosial.
Turut disentuh ialah berkenaan pendekatan strategik kepada pengukuhan perdagangan intra-ASEAN, meningkatkan kerjasama ekonomi, dan menggalakkan aliran modal yang cergas bagi merangsang pertumbuhan serantau demi kemakmuran bersama.
“Fokus utama juga diberikan kepada cara terbaik untuk memperkukuh perdagangan intra-ASEAN dan mempertingkatkan kerjasama ekonomi, termasuk keperluan untuk rangka kerja peraturan yang lebih mesra perniagaan dan berkesan.
“Pendekatan strategik dalam hal ini adalah untuk menggalakkan aliran modal yang lebih rancak serta merangsang pertumbuhan serantau yang lebih kukuh demi kemakmuran bersama,” tegas Anwar.
Selain itu, mesyuarat itu juga menyentuh mengenai pelaksanaan Sidang Kemuncak ASEAN-Amerika Syarikat, keperluan kemajuan diplomatik yang lebih luas dalam pertikaian Laut China Selatan, dan kepentingan membangunkan infrastruktur Blockchain dan kebolehcapaian digital untuk pembangunan sihat di rantau ini.
“Berkenaan dengan pertikaian di Laut China Selatan, kami bersetuju bahawa perlu ada kemajuan diplomatik yang lebih meluas secara multilateral, dengan aspirasi agar rundingan mengenai Kod Tatalaku (CoC) dapat diselesaikan sesegera mungkin.
“Mengenai mata wang kripto, kami membincangkan kepentingan membangunkan infrastruktur Blockchain yang betul serta memastikan kebolehcapaian digital sebagai prasyarat utama bagi pembangunan yang sihat dan progresif di rantau ini,” katanya lagi.
![](https://img.astroawani.com/2024-10/51729493751_freesize.jpg)