SUBANG JAYA: Kerajaan akan menyalurkan bantuan tambahan kepada mangsa banjir di Kampung Melayu Subang, Shah Alam, selain mempercepat pelaksanaan projek tebatan banjir bagi mengurangkan risiko kejadian sama berulang.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata bantuan tambahan itu akan diselaraskan bersama kerajaan negeri dengan mengambil kira keadaan dan kerugian yang dialami setiap mangsa.
Menurutnya, setiap kes akan diteliti satu persatu bagi menentukan jumlah bantuan yang akan disalurkan kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri.
Anwar berkata demikian ketika meninjau kawasan banjir di Kampung Melayu Subang pada Selasa.
Turut hadir, Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari dan Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri R. Ramanan.
Anwar dalam pada itu menegaskan keperluan mempercepat pelaksanaan projek tebatan banjir termasuk usaha menaik taraf sungai dan pembinaan kolam takungan tambahan.
Menurutnya, peruntukan RM500 juta telah disediakan oleh kerajaan Persekutuan bagi projek berkenaan, dengan nilai keseluruhan projek mencecah RM700 juta.
Beliau berkata laporan perkembangan projek itu akan diminta pada Jumaat ini bagi meneliti langkah untuk mempercepat pelaksanaannya.