Skip to main content

Malaysia

PM arah siasatan forensik isu legasi anak syarikat Khazanah, Xeraya Capital

Khazanah Nasional Xeraya Capital -- FB
Datuk Seri Anwar Ibrahim mengarahkan pengurusan Khazanah Nasional Berhad (Khazanah) untuk memulakan siasatan forensik susulan penemuan isu ketidakaturan dalam dokumentasi urus niaga terdahulu melibatkan anak syarikat milik penuhnya, Xeraya Capital.
Advertisement

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengarahkan pengurusan Khazanah Nasional Berhad (Khazanah) untuk memulakan siasatan forensik susulan penemuan isu ketidakaturan dalam dokumentasi urus niaga terdahulu melibatkan anak syarikat milik penuhnya, Xeraya Capital. 

Menurut kenyataan Khazanah, perkara tersebut dibangkitkan pada Mesyuarat Lembaga Pengarah suku ketiga 2026 yang dipengerusikan oleh Anwar, yang juga Menteri Kewangan merangkap Pengerusi Khazanah, pada Khamis. 

Menurut kenyataan itu lagi, Lembaga Pengarah Xeraya Capital, yang ditubuhkan pada 2012 bagi mengurus pelaburan sains hayat, telah mengenal pasti ketidakaturan berkenaan pada Julai 2026 ketika melaksanakan tanggungjawab pengawasan tadbir urus. 

"Setelah Lembaga Pengarah dimaklumkan mengenai perkara tersebut, saya telah mengarahkan pengurusan Khazanah untuk memulakan siasatan forensik mengikut piawaian tertinggi tadbir urus dan proses sewajarnya serta, jika perlu, melibatkan pihak berkuasa yang berkaitan," kata Anwar. 

Selain isu Xeraya Capital, mesyuarat tersebut turut membentangkan prestasi Khazanah yang mencatatkan pulangan jangka panjang mengatasi sasaran ditetapkan walaupun berdepan ketidaktentuan makroekonomi. 

Khazanah turut menegaskan komitmen berterusannya terhadap pelaburan langsung domestik di bawah program GEAR-uP menerusi empat tonggak utama: Transformasi Syarikat, Peralihan Tenaga, Ketersambungan dan Pendigitalan, di samping pembangunan komuniti melalui inisiatif K-Youth dan Yayasan Hasanah. 

Anwar dalam mesyuarat tersebut menzahirkan penghargaan terhadap ketelitian pengurusan dana berdaulat itu dan menggesa usaha diteruskan bagi memajukan ekonomi negara sejajar kerangka Ekonomi MADANI. 

Must Watch Video

Advertisement