PUTRAJAYA: Kerajaan bersetuju secara dasar untuk menetapkan ketetapan umum berhubung penyahklasifikasian (declassification) dokumen-dokumen sejarah negara yang ketika ini diklasifikasikan sebagai dokumen terperingkat di bawah Akta Rahsia Rasmi 1972 (OSA).
Jurucakap Kerajaan Perpaduan, Datuk Seri Fahmi Fadzil berkata, keputusan itu dicapai dalam Mesyuarat Jemaah Menteri susulan cadangan yang diutarakan para sejarawan dalam Mesyuarat Majlis Sejarawan Negara Bilangan Kedua Tahun 2026, baru-baru ini.
Menurut beliau, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan bahawa proses penyemakan semula status dokumen berkenaan perlu digerakkan pada kadar segera, namun dilaksanakan dengan pertimbangan yang teliti.
"Jemaah Menteri telah bersetuju dengan beberapa pandangan yang diutarakan oleh para sejarawan mengenai kesesuaian menetapkan satu dasar umum berhubung penyahklasifikasian dokumen-dokumen sejarah yang waktu ini dikategorikan sebagai dokumen terperingkat di bawah Akta Rahsia Rasmi.
"Perkara ini akan diteliti termasuk oleh Peguam Negara untuk melihat implikasi dan juga kemudahan akses kepada dokumen-dokumen sejarah," katanya dalam sidang media mingguan di Kementerian Komunikasi di sini, pada Jumaat.
Mengulas mengenai garis masa pelaksanaannya, Menteri Komunikasi itu menjelaskan, penelitian rapi melibatkan Jabatan Peguam Negara (AGC), Kementerian Dalam Negeri (KDN), serta Polis Diraja Malaysia (PDRM) sedang digerakkan bagi menilai tahap sensitiviti setiap rekod arkib terbabit.
"Arahan Perdana Menteri ialah ia perlu dilaksanakan segera tetapi dengan teliti. Kita akan rujuk dengan pihak Jabatan Peguam Negara tentang beberapa aspek, kita akan rujuk dengan pihak PDRM dan pihak KDN.
"Perkara-perkara yang mungkin tidak terlalu sensitif tetapi mungkin satu ketika dulu terpakai Akta Rahsia Rasmi, mungkin itu yang lebih mudah untuk dinyahklasifikasikan terlebih dahulu," tambah beliau.
Langkah berkenaan dijangka membuka ruang yang lebih luas kepada ahli akademik, penyelidik, serta masyarakat awam untuk mengakses rekod perangkaan dan peristiwa penting tanah air yang selama ini dihadkan atas faktor perundangan kerahsiaan lama.