Ringkasan AI
- Pelan Tindakan Sara Hidup Negara 2030 (NCLAP30) dilancarkan dengan 429 ikhtiar melalui 35 strategi untuk menangani kos sara hidup dan meningkatkan kesejahteraan rakyat.
- Pelan lima tahun ini melibatkan lapan kluster strategik dan kerjasama sektor swasta, NGO serta masyarakat bagi memastikan pelaksanaan menyeluruh.
- Majlis Tindakan Sara Hidup Negara (NACCOL) diberi mandat memantau pelaksanaan semua inisiatif agar tiada pertindihan dan manfaat dirasai rakyat.
MELAKA: Pelan Tindakan Sara Hidup Negara 2030 (NCLAP30) yang dilancarkan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini menggariskan 429 ikhtiar menerusi 35 strategi bagi menangani tekanan kos sara hidup dan meningkatkan kesejahteraan rakyat.
Pelan tindakan selama lima tahun itu, yang merangkumi lapan kluster strategik, menjadi kerangka tindakan nasional bagi menyelaras pelaksanaan pelbagai inisiatif berkaitan kos sara hidup merentasi kementerian dan agensi kerajaan menerusi pendekatan keseluruhan negara.
Kluster berkenaan ialah pendapatan, makanan, kesihatan, pendidikan, pengangkutan, perumahan, utiliti dan umum dengan pelaksanaannya turut melibatkan kerjasama sektor swasta, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) serta masyarakat.
Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Datuk Armizan Mohd Ali berkata pelan itu menetapkan dua keutamaan, iaitu meningkatkan pendapatan rakyat serta menstabilkan harga barangan serta perkhidmatan asas.
Beliau berkata pelan itu merangkumi usaha meneruskan dan menambah baik inisiatif sedia ada termasuk komitmen fiskal selain memperkenal ikhtiar baharu bagi menangani isu kos sara hidup.
“Ia juga bersifat dinamik bertujuan memastikan pelan tindakan berkenaan kekal relevan dan boleh disesuaikan dalam mendepani cabaran domestik selain ketidaktentuan geopolitik serta geoekonomi global,” katanya pada sidang media di sini hari ini.
Armizan berkata NCLAP30 turut selari dengan hala tuju dasar utama negara termasuk Kerangka Ekonomi MADANI dan Rancangan Malaysia Ke-13.
Dalam pada itu, beliau berkata Majlis Tindakan Sara Hidup Negara (NACCOL) diberi mandat lebih luas untuk memantau pelaksanaan semua ikhtiar sara hidup merentasi kementerian dan agensi kerajaan.
Armizan berkata sebelum ini, peranan NACCOL tertumpu pada penelitian dan pertimbangan inisiatif baharu serta isu berkaitan kos sara hidup namun kini turut merangkumi pemantauan menyeluruh terhadap pelaksanaan inisiatif yang telah digariskan.
“Matlamatnya ialah supaya 429 ikhtiar sara hidup yang digariskan ini dapat dilaksanakan dengan sehabis baik, secara teratur, bersasar dan tidak ada pertindihan untuk mencapai keberhasilan yang optimum,” katanya.
Beliau berkata kejayaan pelan itu turut memerlukan kerjasama sektor swasta, NGO dan masyarakat bagi memastikan manfaat setiap inisiatif dapat dirasai rakyat secara menyeluruh.
Terdahulu, majlis pelancaran itu berlangsung di Kompleks Sukan Hang Jebat, Krubong di sini dan turut dihadiri Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Datuk Fuziah Salleh.
-- BERNAMA