Malah, Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan berkata, pihaknya juga mengesan beberapa lagi individu yang dipercayai berada dalam bot sewaktu kejadian.
"Polis percaya terdapat lebih lima orang dalam bot tersebut. Kita juga sudah kenal pasti dua lelaki Indonesia yang menghantar tiga daripada empat mangsa itu ke Hospital Serdang dan usaha mengesannya giat dilakukan.
Dalam kejadian pukul 3 pagi 24 Januari lalu, bot Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) dilanggar empat kali oleh sebuah bot dipercayai milik suspek ketika menjalankan tugas rondaan perairan terbabit.
Sementara itu, Ketua Pengarah APMM, Mohd Rosli Abdullah mengatakan siasatan kes itu dijalankan PDRM dan pihaknya sedia memberi kerjasama penuh, manakala anggota yang terlibat "direhatkan” sehingga siasatan selesai.
Hussein menjelaskan siasatan mendapati tembakan dilepaskan untuk mempertahankan diri setelah bot APMM dilanggar dan dua suspek dipercayai cuba menyerang anggota APMM dengan parang.
Bot itu kemudiannya ditemukan kira-kira 0.4 batu nautika barat daya Pulau Carey pada Jumaat lepas, apabila seorang lelaki ditemukan meninggal dunia dan seorang lagi cedera parah sebelum dibawa ke sebuah hospital di Klang.
Seorang pegawai perubatan juga melaporkan tiga lelaki dengan kecederaan tembakan telah dimasukkan ke sebuah hospital di Serdang pada hari yang sama.