SHAH ALAM: Polis sedang memburu suspek dipercayai terlibat dalam kes cubaan samun sebuah kedai emas di Jalan Tengku Kelana, Klang dekat sini pagi tadi yang tular di media sosial.
Timbalan Ketua Polis Daerah Klang Selatan Superintenden Kamalariifin Aman Shah mengesahkan perkara itu berkata kejadian berlaku kira-kira pukul 10.30 pagi itu juga, dipercayai telah menyebabkan kecederaan kepada individu selain melibatkan penggunaan senjata api.
“Bahagian Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Klang Selatan telah membuka satu kertas siasatan di bawah Seksyen 394 Kanun Keseksaan, atas kesalahan mendatangkan kecederaan semasa cubaan samun berkumpulan.
“Kes juga disiasat di bawah Seksyen 4 Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971 atas kesalahan menunjukkan senjata api semasa cubaan melakukan samun,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Kamalarifin turut memohon kerjasama orang ramai yang mempunyai maklumat untuk menghubungi Pegawai Penyiasat Inspektor Mohamad Sulaimi Alawi @ Shaari menerusi talian 014-5719405, Bilik Gerakan IPD Klang Selatan (03-33762222) atau mana-mana balai polis berdekatan.
Terdahulu, tular di media sosial rakaman menunjukkan beberapa individu bersenjatakan tukul besi telah memasuki sebuah premis kedai emas dan menghentak kaca pameran dipercayai bertujuan untuk menyamun namun gagal dan melarikan diri dengan menaiki motosikal.
-- BERNAMA