Skip to main content

Malaysia

Polis Kuala Lumpur lupus dadah bernilai RM15 juta

KUALA LUMPUR, 12 Jun -- Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Fadil Marsus bercakap ketika sidang media selepas Majlis Peluncuran Advokasi Kesedaran Lalu Lintas di SMK Alam Damai hari ini.  --fotoBERNAMA (2026) HAK CIPTA TERPELIHARA
Menurut Fadil, pelupusan ini bukan sekadar memusnahkan dadah tetapi memutuskan rantaian penyalahgunaan, menutup ruang kebocoran serta menegaskan setiap rampasan yang menjadi barang kes akan dilupuskan secara terus, terkawal dan berintegriti. - Gambar Bernama
Advertisement

KUALA LUMPUR: Polis hari ini melupuskan pelbagai jenis dadah bernilai lebih RM15 juta hasil rampasan dalam pelbagai operasi di sekitar ibu negara bagi memastikan integriti pengurusan barang kes terus terpelihara.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Fadil Marsus berkata, pelupusan itu membabitkan 5,022 barang kes daripada 4,884 kertas siasatan yang telah selesai prosiding mahkamah bagi tempoh 2007 hingga 2025.

“Pelupusan ini bukan sekadar memusnahkan dadah tetapi memutuskan rantaian penyalahgunaan, menutup ruang kebocoran serta menegaskan setiap rampasan yang menjadi barang kes akan dilupuskan secara terus, terkawal dan berintegriti,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media Majlis Pelupusan Barang Kes Dadah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik di Ibu Pejabat Polis Kuala Lumpur, di sini, hari ini.

Fadil berkata, jumlah dadah pepejal yang dilupuskan mencecah 544 kilogram, membabitkan methamphetamine, ketamine, heroin, kokain dan ganja manakala dadah cecair melebihi 900 liter termasuk cecair ketum.

“Kesemua kes ini melibatkan kesalahan di bawah Seksyen 39B, Seksyen 39A(2), Seksyen 39A(1) dan Seksyen 6 Akta Dadah Berbahaya 1952, selain Seksyen 12(2) dan Seksyen 33 Akta Racun 1952 bagi kes berkaitan air ketum,” katanya.

Fadil berkata, proses pelupusan secara terbuka itu juga bertujuan mengikis persepsi negatif atau salah faham masyarakat mengenai cara pihak berkuasa menguruskan rampasan dadah dalam kuantiti yang besar.

“Kami cuba elak persepsi masyarakat yang tidak faham tentang rampasan beratus-ratus kilogram ini. Pelupusan hari ini menunjukkan ada proses ditetapkan mengikut tatacara bagi memastikan integriti barang kes terpelihara,” katanya.

Fadil berkata, proses pemusnahan dilaksanakan mengikut Perintah Tetap Ketua Polis Negara (PTKPN) D207 dengan kerjasama syarikat Kualiti Alam Sdn Bhd menerusi teknologi Scheduled Waste-to-Energy di loji insinerator di Bukit Pelandok, Negeri Sembilan.

Beliau berkata, kaedah itu mengurangkan risiko kesihatan dan keselamatan anggota akibat pendedahan jangka panjang kepada bahan kimia berbahaya.

-- BERNAMA

 

 

 

Must Watch Video

Advertisement