KUALA LUMPUR: Polis menafikan dakwaan wujud kejadian cubaan culik melibatkan pelajar sebuah sekolah agama di Bandar Baru Sungai Buloh, Selangor seperti yang tular melalui media sosial, baru-baru ini.
Ketua Polis Daerah Sungai Buloh Supt Mohd Hafiz Muhammad Nor berkata pihaknya mengesan satu hantaran melalui aplikasi Threads berhubung dakwaan kejadian terbabit pada 1.15 tengah hari, semalam.
“Kita menerima laporan daripada ibu bapa pelajar terbabit dan hasil siasatan awal mendapati tiada kes cubaan culik seperti yang ditularkan.
“Pelajar itu berada dalam keadaan baik dan selamat bersama keluarga,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Mohd Hafiz menasihati orang ramai supaya tidak memuat naik sebarang kenyataan yang boleh menimbulkan keresahan dan situasi panik dalam kalangan masyarakat kerana perbuatan seperti itu boleh dikenakan tindakan di bawah Seksyen 505b Kanun Keseksaan.
Terdahulu, tular mesej berkaitan peringatan kepada ibu bapa untuk melindungi anak-anak mereka susulan dakwaan terdapat cubaan culik di sekolah terbabit.
-- BERNAMA