Skip to main content

Malaysia

Polis Perak buka kertas siasatan susulan laporan PKNPk

Sumber: BERNAMA
Menurut Mohd Alwi, pihak polis juga masih menunggu maklumat daripada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) mengenai pemilik akaun Tik Tok yang terlibat. - Gambar fail
Advertisement

IPOH: Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah membuka kertas siasatan susulan laporan Perbadanan Kemajuan Negeri Perak (PKNPk) berhubung penyebaran pelbagai dakwaan terhadap perbadanan itu, pengurusan serta individu tertentu yang dikaitkan dengan organisasi.

Ketua Polis Perak, Datuk Mohd Alwi Zainal Abidin berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 507A Kanun Keseksaan bersama dengan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

“Laporan polis yang dibuat adalah si mangsa, kita boleh istilahkan sebagai yang keluar dalam media itu.

“Setakat ini siasatan dibuat berdasarkan laporan tersebut. Kita telah buka kertas siasatan di bawah Seksyen 507A Kanun Keseksaan bersama dengan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998. Setakat ini kita masih lagi dalam siasatan lah,” katanya.

Bercakap dalam sidang media sempena majlis pelupusan barang kes narkotik di pekarangan Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak, di sini, hari ini, beliau berkata, setakat ini belum ada sebarang saksi yang dipanggil untuk dirakam keterangan.

Menurutnya, pihaknya juga belum menerima laporan daripada individu-individu yang didakwa menjadi mangsa gangguan.

Dalam masa sama, kata Mohd Alwi, pihak polis juga masih menunggu maklumat daripada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) mengenai pemilik akaun Tik Tok yang terlibat.

Pada Rabu, PKNPk membuat laporan dan aduan kepada polis dan MCMC, berhubung penyebaran pelbagai dakwaan terhadap perbadanan itu, pengurusan serta individu tertentu yang dikaitkan dengan organisasi.

PKNPk dalam kenyataan memaklumkan, perbadanan itu mengambil maklum beberapa hantaran oleh sebuah laman Facebook, yang sejak kebelakangan ini secara berterusan menyiarkan pelbagai tuduhan serius terhadap PKNPk dan pengurusannya.

Menurut kenyataan itu penyebaran dakwaan tidak berasaskan fakta yang dapat disahkan berpotensi menjejaskan reputasi dan kredibiliti PKNPk serta pihak-pihak yang terlibat, selain menggugat keyakinan pelabur, pihak berkepentingan serta masyarakat umum. 

Must Watch Video

Advertisement