KUALA LUMPUR: Polis sedang menyiasat tindakan seorang wanita tidak dikenali yang didakwa menolak seorang kanak-kanak lelaki sehingga terjatuh selain memukul kepala adik perempuannya di sebuah pusat beli-belah di sini, susulan kejadian yang tular di media sosial.
Ketua Polis Daerah Dang Wangi ACP Ahmad Azwan Amin Nordin berkata pihaknya mengesan rakaman video berdurasi 35 saat yang memaparkan pertengkaran antara dua individu di premis berkenaan dipercayai susulan insiden itu.
Beliau berkata polis menerima laporan daripada bapa kedua-dua kanak-kanak berkenaan yang berusia 36 tahun pada 7.39 malam.
"Menurut pengadu, kejadian berlaku kira-kira 3 petang ketika beliau sedang berjalan bersama dua anaknya yang berusia dua dan tujuh tahun sebelum seorang wanita tidak dikenali secara tiba-tiba menolak anak lelakinya dari belakang sehingga terjatuh.
"Wanita itu turut didakwa memukul bahagian belakang kepala anak perempuan pengadu yang berusia dua tahun," katanya dalam kenyataan malam ini.
Ahmad Azwan berkata polis memandang serius kejadian berkenaan dan sedang menjalankan siasatan menyeluruh bagi mengenal pasti punca sebenar insiden serta melengkapkan siasatan mengikut peruntukan undang-undang.
Sehubungan itu, beliau menasihati orang ramai supaya tidak membuat spekulasi, menyebarkan tuduhan atau berkongsi maklumat yang belum disahkan kerana tindakan sedemikian boleh menjejaskan siasatan.
Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian diminta menghubungi hotline Polis Kuala Lumpur di talian 03-2115 9999, Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi di talian 03-2600 2222 atau mana-mana balai polis berhampiran.
-- BERNAMA