Skip to main content

Malaysia

Polis tahan buruh disyaki miliki senjata api, pedang samurai di Mukah

Pemeriksaan lanjut di dalam bilik suspek menemukan sepucuk senjata api dipercayai senapang angin, sebilah pedang samurai dan 80 biji guli dipercayai digunakan sebagai peluru. Foto IPD Mukah -- SINAR HARIAN
Seorang buruh ladang kelapa sawit ditahan selepas polis menemui sepucuk senjata api dipercayai senapang angin, sebilah pedang samurai dan dadah disyaki syabu dalam serbuan di sebuah rumah di Jalan Selangau-Mukah, pagi semalam. - Foto IPD Mukah/via Sinar Harian
Advertisement

MUKAH: Seorang buruh ladang kelapa sawit ditahan selepas polis menemui sepucuk senjata api dipercayai senapang angin, sebilah pedang samurai dan dadah disyaki syabu dalam serbuan di sebuah rumah di Jalan Selangau-Mukah, pagi semalam.

Ketua Polis Daerah Mukah DSP Muhamad Rizal Alias berkata lelaki tempatan berusia 36 tahun itu pada mulanya disyaki terbabit dalam aktiviti penyalahgunaan dadah.

Beliau berkata pemeriksaan ke atas suspek menemukan satu keratan tiub straw lut sinar mengandungi ketulan kristal seberat 0.46 gram disyaki methamphetamine atau syabu di dalam kotak rokok yang disimpan dalam beg silang miliknya.

“Pemeriksaan lanjut di dalam bilik suspek menemukan sepucuk senjata api dipercayai senapang angin, sebilah pedang samurai sepanjang 79 sentimeter, 80 biji guli dipercayai digunakan sebagai peluru serta sebuah botol semburan plastik lut sinar,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Muhamad Rizal berkata setakat ini suspek tidak membuat sebarang pengakuan berhubung pemilikan senjata berkenaan dan siasatan masih diteruskan.

Beliau berkata kes disiasat mengikut Seksyen 8(a) Akta Senjata Api 1960, Seksyen 6(1) Akta Bahan-Bahan Kakisan dan Letupan dan Senjata Berbahaya 1958, Seksyen 12(2) dan Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.

Suspek tidak mempunyai rekod jenayah lampau dan direman hingga 9 Ogos bagi membantu siasatan.

-- BERNAMA

 

Must Watch Video

Advertisement