Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan berkata, semasa tangkapan dibuat, wanita warga tempatan terbabit memegang satu sampul plastik mengandungi dua kotak katrij berisi cecair vape disyaki mengandungi campuran dadah methamphetamine anggaran isipadu lima milimeter.
Ekoran penangkapan itu, beliau berkata, pihak polis telah dibawa ke sebuah unit kondominium yang sama dan polis berjaya merampas 58 kotak katrij berisi cecair vape disyaki mengandungi campuran dadah methamphetamine anggaran isipadu 127 milimeter.
"Pada hari yang sama jam 10.15 malam, pihak polis telah menyerbu sebuah premis perniagaan di sekitar Seri Kembangan yang dijadikan tempat pemprosesan cecair vape mengandungi dadah jenis methamphetamine.
"Dalam serbuan di premis itu, polis telah menahan lima lelaki warga asing dan merampas 33,019 kotak katrij berisi cecair vape disyaki mengandungi campuran dadah methamphetamine dengan anggaran isipadu sebanyak 133,000 milileter.
"Pihak polis juga merampas 43 tong dan botol berisi cecair kimia serta peralatan lain dipercayai alat untuk memproses dan pembungkusan semua cecair vape tersebut," katanya dalam sidang akhbar pada Jumaat.
Susulan dua tangkapan tersebut, Hussein berkata, pihak polis menangkap seorang lelaki tempatan yang berperanan sebagai pembancuh vape dadah itu di sekitar Puchong, Selangor pada Rabu.
Menurutnya, kesemua suspek yang berusia lingkungan 21 hingga 37 tahun itu bekerja sepenuh masa dengan sindiket menghasilkan cecair vape yang disyaki mengandungi dadah.
"Nilai keseluruhan rampasan cecair vape disyaki mengandungi campuran dadah jenis methamphetamine ini berjumlah RM9.94 juta berdasarkan harga pasaran.
"Vape berisi dadah ini dipercayai dipasarkan ke seluruh Malaysia dan luar negara menerusi jualan dalam talian," ujarnya.
Katanya, semakan mendapati suspek pertama iaitu wanita mempunyai dua rekod lampau.
Selain itu kata beliau, saringan awal air kencing mendapati tiga suspek positif dadah dan dua lagi negatif.
Tambahnya, kesemua suspek ditahan reman selama lima hingga tujuh hari di bawah Seksyen 117 Kanun Tatacara Jenayah dan kes disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952. - Sinar Harian
