PETALING JAYA: Kerajaan telah memperuntukkan RM185 juta untuk projek baik pulih 358 Program Perumahan Rakyat (PPR) seluruh negara tahun ini.


Ringkasan AI
  • Kerajaan memperuntukkan RM185 juta untuk projek baik pulih 358 Program Perumahan Rakyat (PPR) di seluruh negara tahun ini, dan tambahan RM1.2 juta untuk baik pulih kemudahan termasuk lif di PPR Lembah Subang 1.
  • Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan bahawa pemimpin perlu mengutamakan kebajikan asas rakyat selain pertumbuhan ekonomi, seperti menyediakan lif, sekolah, dan kemudahan kesihatan.
  • Kerajaan meminta senarai nama penduduk PPR untuk memudahkan pelaksanaan kadar bayaran sewa yang munasabah, dan menekankan bahawa setiap penduduk mesti menjalankan tanggungjawab masing-masing dalam pembayaran sewa.


Sebagai tambahan, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim turut meluluskan peruntukan tambahan segera RM1.2 juta untuk baik pulih kemudahan termasuk lif di PPR Lembah Subang 1, Petaling Jaya.

“Syarikat pengendali lif kena ingat, kita boleh bayar. Kelulusan wang segera, Ketua Setiausaha ada di sini, kita segera kelulusan, Datuk Bandar juga ada. Kalau lambat peruntukan sampai, beritahu saya.

“Kalau peruntukan sudah lulus tapi kerja masih tak jalan, Datuk Bandar kena jawab dengan saya tapi saya percaya Datuk Bandar seorang yang prihatin dan saya berterima kasih dengan kerjasama diberikan,” katanya semasa hadir ke majlis meraikan Forum Komuniti PPR Lembah Subang 1, pada Khamis.

Turut hadir ialah Menteri Pembangunan dan Kerajaan Tempatan Malaysia, Nga Kor Ming.

Beliau menambah, kerajaan juga telah menjalankan baik pulih 8,600 tandas awam di seluruh negara bagi memastikan keselesaan dan kemudahan rakyat.

Kata Anwar lagi, pemimpin perlu meletakkan kebajikan asas rakyat sebagai perkara paling utama di samping memikirkan soal pertumbuhan ekonomi.

“Pelaburan datang beratus bilion, ringgit kuat, bon naik tapi bagi rakyat di Lembah Subang 1, mereka nakkan lif, sekolah, kemudahan kesihatan.

“Jadi (pemimpin) kena fikir kedua-duanya. Di sini, hari ini, kita bukan saja memanfaatkan kemudahan tambahan tapi RM1.2 juta itu perlu disegerakan,” katanya lagi.

Dalam pada itu, perdana menteri juga meminta agar senarai nama penduduk PPR dikenal pasti bagi memudahkan pelaksanaan kadar bayaran sewa yang munasabah.

Tegasnya, sebarang tunggakan boleh dibincangkan dengan majlis perbandaran atau ahli dewan undangan negeri yang berkenaan, namun sewa minima mesti dibayarkan dan setiap penduduk menjalankan tanggungjawab masing-masing.

“Kalau rasa (sewa) terlalu tinggi, kita boleh pastikan sewa itu dikurangkan tetapi kalau duduk tanpa tanggungjawab, itu tak boleh.

“Kita pastikan apabila kita keluarkan belanja untuk beri kemudahan tapi senarai nama harus diberi dan setiap penduduk mesti jalankan tanggungjawab,” ujarnya.