SIBU: Premier Sarawak Tan Sri Abang Johari Tun Openg hari ini menzahirkan ucapan terima kasih kepada Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim kerana mengiktiraf Petroleum Sarawak (Petros) sebagai agregator gas di Sarawak.


Ringkasan AI
  • Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengiktiraf Petroleum Sarawak (Petros) sebagai agregator gas di Sarawak, yang akan berkuat kuasa pada 1 Mac 2025.
  • Premier Sarawak Tan Sri Abang Johari Tun Openg menekankan kepentingan kerjasama antara Petros dan PETRONAS dalam bidang minyak dan gas untuk memajukan ekonomi Sarawak.
  • Abang Johari menegaskan bahawa kekuatan GPS membolehkan Sarawak mempunyai kawalan tertentu ke atas sektor ekonomi yang disertainya dan menggesa semua parti dalam GPS untuk terus bersatu.


Beliau berkata penyertaan Petros dalam bidang minyak dan gas adalah sebahagian usaha Sarawak untuk bergerak ke hadapan dalam menyertai seluruh ekosistem ekonomi berdasarkan prinsip kerjasama.

"Kita bukan lokek. Apa yang kita ada, kita kongsi. PETRONAS (Petroliam Nasional Bhd) dan Petros mesti bekerjasama," tegasnya sambil menekankan kepentingan bersama dalam kerjasama ini.

Beliau berkata demikian semasa berucap pada majlis Rumah Terbuka Sambutan Tahun Baharu Cina Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) Sibu di sini hari ini.

Pada sesi penerangan di Dewan Rakyat pagi tadi, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri Sarawak memperakui aspirasi Sarawak untuk menceburi industri minyak dan gas di negeri berkenaan.

Anwar menjelaskan bahawa hasrat itu termaktub dalam Ordinan Pengagihan Gas 2016 (Pindaan) (DGO), yang akan berkuat kuasa pada 1 Mac 2025.

"DGO, apabila dibaca bersama Akta Kemajuan Petroleum 1974 (PDA), memperuntukkan bahawa Petros (Petroleum Sarawak Bhd) berperanan sebagai agregator di Sarawak," katanya.

Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata peranan itu tetap mengesahkan kelulusan sebelumnya kepada PETRONAS dan anak-anak syarikatnya.

Pada majlis yang sama, Abang Johari berkata Sarawak mempunyai kawalan tertentu ke atas sektor ekonomi yang disertainya hasil daripada kekuatan Kerajaan Gabungan Parti Sarawak (GPS) yang dianggotai Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), SUPP, Parti Demokratik Progresif (PDP) dan Parti Rakyat Sarawak (PRS).

Beliau menggesa semua parti dalam GPS untuk terus bersatu dan mengekalkan kekuatan gabungan itu agar Sarawak dapat menyertai lebih banyak sektor ekonomi serta mencapai perubahan dan pembangunan yang lebih besar pada masa hadapan.

-- BERNAMA