Skip to main content

Malaysia

Premis di Kulai diarah tutup sementara kerana bendera dipasang terbalik

Bendera terbalik,Tutup kilang
Sebuah premis perindustrian di bawah seliaan Majlis Perbandaran Kulai (MPKu) dikenakan arahan penutupan sementara selepas pemasangan Jalur Gemilang dan bendera Johor didapati tidak mengikut kedudukan yang sepatutnya. - Foto Astro AWANI
Advertisement

KUALA LUMPUR: Sebuah premis perindustrian di bawah seliaan Majlis Perbandaran Kulai (MPKu) dikenakan arahan penutupan sementara selepas pemasangan Jalur Gemilang dan bendera Johor didapati tidak mengikut kedudukan yang sepatutnya.

Kesalahan itu dikesan pihak berkuasa tempatan sebelum kedudukan kedua-dua bendera berkenaan segera diperbetulkan oleh pihak premis.

Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan Negeri Johor, Datuk Mohd Jafni Md Shukor berkata, pihak berkuasa mengambil tindakan segera sebaik sahaja menerima maklumat mengenai pemasangan bendera berkenaan.

“MPKu telah mengarahkan premis terbabit menghentikan operasi buat sementara waktu sehingga pihak syarikat tampil menjelaskan perkara yang berlaku dan menyelesaikan perakuan Aku Janji.

“Kedudukan Jalur Gemilang yang tidak betul itu juga telah dibetulkan dengan segera,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Mohd Jafni berkata, siasatan turut dijalankan Polis Diraja Malaysia (PDRM) bagi menentukan sama ada wujud unsur kesalahan lain berkaitan kejadian tersebut.

Katanya, pengarah syarikat terbabit akan dipanggil dalam masa terdekat bagi memberikan keterangan dan menjelaskan perkara yang berlaku kepada pihak berkuasa.

Beliau berkata, keputusan MPKu untuk mengambil tindakan penutupan sementara mempunyai sandaran undang-undang menerusi Undang-Undang Kecil Pelesenan Tred, Perniagaan dan Perindustrian 2019.

“Peraturan itu antara lain memperuntukkan kuasa kepada PBT untuk mengambil tindakan terhadap premis melalui UUK 49(2), manakala UUK 45(1) menetapkan perkara berkaitan pengibaran bendera.

“Mana-mana pihak yang gagal mematuhi peruntukan ditetapkan perlu berdepan tindakan penguatkuasaan yang bersesuaian,” katanya.

Mohd Jafni berkata, kerajaan negeri memandang serius perkara itu kerana Jalur Gemilang mempunyai nilai simbolik yang besar kepada rakyat dan negara.

“Jalur Gemilang adalah lambang kedaulatan, maruah serta jati diri Malaysia dan penggunaannya perlu sentiasa disertai rasa hormat.

“Jangan jadikan kesilapan seperti ini sebagai perkara biasa kerana ia menyentuh sensitiviti serta penghormatan terhadap simbol negara,” katanya.

Beliau menegaskan kerajaan negeri Johor akan memastikan setiap tindakan penguatkuasaan berkaitan pemasangan dan pengibaran bendera dilaksanakan mengikut undang-undang yang berkuat kuasa.

“Kita tidak akan bertolak ansur terhadap sebarang tindakan yang boleh mencemarkan penghormatan kepada Jalur Gemilang,” katanya.

Must Watch Video

Advertisement