SEPANG: Presiden Turkiye Recep Tayyip Erdogan tiba di sini bagi memulakan lawatan rasmi dua hari ke Malaysia.

Pesawat yang membawa Erdogan mendarat di Kompleks Bunga Raya Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada 2.10 petang.

Ketibaan beliau yang diiringi Wanita Pertama Turkiye Emine, disambut oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dan isteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.

Turut hadir menyambut delegasi dari Turkiye ialah Menteri Pertahanan Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin dan Menteri Luar Datuk Seri Mohamad Hasan.

Erdogan kemudian memeriksa barisan kawalan kehormatan oleh 28 pegawai dan anggota dari Batalion Pertama Rejimen Renjer Diraja (Istiadat) sebelum berlepas ke Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) bersama Anwar.

Wisma Putra dalam kenyataan berkata lawatan Erdogan mencerminkan hubungan antara kedua-dua negara yang terus kukuh, berdasarkan keakraban yang telah lama terjalin, terutama selepas peningkatan tahap hubungan kepada Perkongsian Strategik Komprehensif (CSP) pada Julai 2022.

Malaysia sebagai pengerusi ASEAN tahun ini telah mengesahkan komitmennya untuk mengukuhkan integrasi serantau dan memupuk perkongsian di luar rantau ini.

Turkiye sebagai Rakan Dialog Sektoral ASEAN, berada pada kedudukan yang baik untuk memainkan peranan penting dalam memajukan keutamaan ekonomi ASEAN.

Turkiye menjadi Rakan Dialog Sektoral ASEAN pada 2017, dengan Bidang Kerjasama Praktikal ASEAN-Turkiye (2024-2028) berfungsi sebagai rangka kerja untuk kerjasama strategik antara ASEAN dan Turkiye.

Pada tahun 2024, Turkiye merupakan rakan dagangan ketiga terbesar Malaysia, destinasi eksport terbesar dan sumber import keempat terbesar dalam kalangan negara Asia Barat.

Jumlah perdagangan antara Malaysia dan Turkiye direkodkan pada RM24.13 bilion (AS$5.28 bilion) pada 2024, peningkatan 18.7 peratus berbandinhg 2023.

-- BERNAMA