TAPAH: Pemilihan calon tempatan dilihat lebih baik untuk Barisan Nasional (BN) mempertahankan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Kuning di sini.

Timbalan Presiden MIC Datuk Seri M Saravanan berkata, berdasarkan pengalamannya sebagai Ahli Parlimen Tapah sejak 2008, penduduk di kawasan itu agak sensitif dengan penglibatan pihak luar.

Bagaimanapun, katanya, terserah kepada UMNO untuk membuat pilihan dan MIC akan bekerja keras untuk menarik sokongan pengundi, khususnya di kalangan masyarakat India di enam Pusat Daerah Mengundi (PDM).

"Ada enam PDM. Walaupun ia di seluruh DUN Ayer Kuning, tetapi fokus utama adalah enam PDM yang penting, di mana ada sebuah PDM mempunyai lebih kurang 1,400 pengundi dan satu lagi 600, yang lain semua 400 lebih.

"Ini akan jadi tumpuan kami. Dalam enam DUN ini, PDM ini kita ada lebih kurang 4,000 undi," katanya kepada pemberita selepas mesyuarat khas MIC Tapah di Bangunan MIC Tapah di sini malam tadi.

Mengulas lanjut, Saravanan berkata, jentera pilihan raya parti perlu memberi fokus kepada pengundi Melayu yang dianggarkan lebih 18,000 orang pada September lalu, diikuti pengundi Cina sekitar 6,900, India (4,600) dan Orang Asli (2,000).

Beliau tidak melihat sebarang masalah dengan pengundi Cina, India atau Orang Asli, lebih-lebih lagi apabila Pakatan Harapan telah bersama Barisan Nasional (BN) dalam Kerajaan Perpaduan.

Kerusi DUN Ayer Kuning kosong susulan kematian penyandang, Ishsam Shahruddin, 59 tahun, selepas menyertai perlawanan Kejohanan Bola Sepak Empat Penjuru di Stadium Bandaraya, George Town, Pulau Pinang, akibat serangan jantung, pada Sabtu.

Pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) BN memenangi kerusi DUN Ayer Kuning dengan majoriti 2,213 undi, menewaskan empat calon lain masing-masing dari PH, Perikatan Nasional, Parti Sosialis Malaysia (PSM) dan Gerakan Tanah Air.

Ishsam dari UMNO memperoleh 9,088 undi diikuti Mohd Nazri Hashim (AMANAH) mendapat 6,875 undi, Muhammad Noor Farid Zainal (Pas) (6,812 undi), K Bawani dari PSM (586 undi) dan Maziah Salim dari Parti Pejuang Tanah Air (105 undi).