Skip to main content

Malaysia

Projek bandar pintar Kota Kinabalu dijangka siap Februari 2028

Projek Bandar Pintar Kota Kinabalu yang bermula pada 6 Ogos lepas itu dilaksanakan menerusi kerjasama Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) dengan Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) menggunakan dana Pemberian Perkhidmatan Sejagat (USP). -Foto fail/DagangNews
Projek Bandar Pintar Kota Kinabalu yang bermula pada 6 Ogos lepas itu dilaksanakan menerusi kerjasama Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) dengan Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) menggunakan dana Pemberian Perkhidmatan Sejagat (USP). -Foto fail/DagangNews

Advertisement

Ringkasan AI

  • Kota Kinabalu akan dibangunkan sebagai bandar raya pintar melalui projek bernilai RM300 juta yang dijangka siap pada Februari 2028.
  • Projek ini melibatkan pemasangan 1,696 CCTV, pembangunan rangkaian gentian optik, Wi-Fi awam, dan pembinaan Pusat Kawalan Operasi Rangkaian (NOCC).
  • Inisiatif ini dijangka meningkatkan kecekapan pengurusan bandar, keselamatan awam, serta memperkukuh ketersambungan digital dan peluang ekonomi komuniti setempat.

KOTA KINABALU: Kota Kinabalu bakal diperkasakan sebagai bandar raya pintar menerusi pelaksanaan projek bernilai kira-kira RM300 juta yang dijangka siap pada Februari 2028, sekali gus meningkatkan kecekapan pengurusan bandar, keselamatan awam dan penyampaian perkhidmatan kepada penduduk.

Timbalan Menteri Komunikasi Teo Nie Ching berkata Projek Bandar Pintar Kota Kinabalu yang bermula pada 6 Ogos lepas itu, dilaksanakan menerusi kerjasama Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) dengan Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK), menggunakan dana Pemberian Perkhidmatan Sejagat (USP).

Beliau berkata projek itu melibatkan pembangunan rangkaian gentian optik dan Wi-Fi awam,  pembangunan 50 kilometer (km) rangkaian teras, 308 km rangkaian sambungan akhir, penyediaan 822 unit tiang pintar serta tiang pelbagai guna dan pembinaan Pusat Kawalan Operasi Rangkaian (NOCC).

“Sebanyak 1,696 kamera litar tertutup (CCTV) turut akan dipasang di sekitar kawasan pentadbiran DBKK bagi membolehkan pemantauan aktiviti bandar secara masa nyata, sekali gus meningkatkan keupayaan pihak berkuasa tempatan mengurus lalu lintas, keselamatan dan kecemasan dengan lebih berkesan.

“Jadi, fungsi bandar pintar ini adalah untuk mengumpulkan data masa nyata melalui pemasangan CCTV,” katanya kepada pemberita selepas meninjau tapak pembangunan NOCC di sini, hari ini.

Teo berkata penggunaan data masa nyata itu membolehkan DBKK membuat keputusan lebih tepat dan pantas, sekali gus meningkatkan kecekapan pengurusan bandar serta penyampaian perkhidmatan kepada penduduk.

Beliau berkata pembangunan NOCC di bangunan bekas Mahkamah Majistret Kota Kinabalu itu turut memberikan nafas baharu kepada bangunan bersejarah berkenaan, dengan sebuah pusat data khusus dibangunkan bersebelahan bagi menyokong operasi bandar pintar.

“Pusat data ini mempunyai kapasiti 120 kilowatt (kW) dengan tambahan kapasiti simpanan 30 kW serta dilengkapi dengan sistem bekalan elektrik sokongan bagi memastikan kelancaran operasi,” katanya.

Teo berkata kerja pengubahsuaian bangunan NOCC dan pembinaan pusat data dijangka siap dalam tempoh enam bulan, sebelum petugas DBKK menjalani latihan serta proses pemindahan pengetahuan sebagai persediaan mengendalikan sistem berkenaan.

Beliau berkata projek itu turut merangkumi penyediaan kemudahan Wi-Fi awam bagi memperkukuh ketersambungan digital, selain menyokong pertumbuhan perniagaan tempatan dan membuka peluang ekonomi baharu kepada komuniti setempat.

“MCMC akan menanggung kos operasi infrastruktur bandar pintar ini selama lima tahun selepas tempoh pembangunan dua tahun, sebelum keseluruhan kemudahan diserahkan sepenuhnya kepada DBKK,” katanya.

Sementara itu, Ahli Parlimen Kota Kinabalu Datuk Chan Foong Hin menyifatkan projek berkenaan sebagai langkah penting dalam mentransformasikan ibu negeri Sabah itu menjadi bandar raya pintar yang lebih moden, selamat dan berdaya saing.

Timbalan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan itu berkata pembangunan infrastruktur digital berkenaan bukan sahaja meningkatkan kecekapan pengurusan bandar, malah turut membantu memperkukuh keselamatan penduduk dan pelancong, seiring dengan perkembangan Kota Kinabalu sebagai destinasi pelancongan.

“Ini satu projek yang baik kerana usaha menghidupkan semula bangunan warisan ini dapat membantu meletakkan Kota Kinabalu sebaris dengan bandar raya pintar yang lain,” katanya.

Chan berkata penyepaduan maklumat daripada rangkaian CCTV dan sistem digital lain membolehkan pihak berkuasa membuat jangkaan lebih tepat tentang keadaan trafik, cuaca serta keselamatan awam, sekali gus meningkatkan keberkesanan perancangan dan pengurusan bandar.

Beliau turut menzahirkan penghargaan kepada MCMC atas pelaksanaan projek itu yang disifatkannya sebagai sumbangan besar kepada pembangunan Kota Kinabalu, khususnya dalam mempercepat transformasi digital Sabah.

-- BERNAMA

 

 

Fakta Segera: Jawapan Pantas Dari AI

  • Q: Apakah tujuan utama Projek Bandar Pintar Kota Kinabalu? 
    A: Projek ini bertujuan memperkasakan Kota Kinabalu sebagai bandar raya pintar dengan meningkatkan kecekapan pengurusan bandar, keselamatan awam dan penyampaian perkhidmatan kepada penduduk.
  • Q: Apakah komponen utama yang terlibat dalam Projek Bandar Pintar Kota Kinabalu? 
    A: Komponen utama termasuk pembangunan rangkaian gentian optik dan Wi-Fi awam, 50 km rangkaian teras, 308 km rangkaian sambungan akhir, 822 unit tiang pintar serta tiang pelbagai guna, pemasangan 1,696 CCTV, dan pembinaan Pusat Kawalan Operasi Rangkaian (NOCC).
  • Q: Siapakah pihak yang melaksanakan projek ini dan bagaimana ia dibiayai? 
    A: Projek ini dilaksanakan oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) bersama Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) menggunakan dana Pemberian Perkhidmatan Sejagat (USP).
  • Q: Bagaimana penggunaan data masa nyata melalui CCTV dapat membantu pihak berkuasa tempatan? 
    A: Data masa nyata membolehkan DBKK membuat keputusan lebih tepat dan pantas, meningkatkan kecekapan pengurusan bandar, serta membantu pemantauan lalu lintas, keselamatan dan kecemasan secara lebih berkesan.
  • Q: Apakah impak projek ini terhadap ekonomi dan komuniti setempat? 
    A: Projek ini memperkukuh ketersambungan digital, menyokong pertumbuhan perniagaan tempatan, membuka peluang ekonomi baharu kepada komuniti, serta membantu mempercepat transformasi digital Sabah.

Must Watch Video

Advertisement