PUTRAJAYA: Semua projek berkepentingan rakyat termasuk membasmi kemiskinan tegar dan tebatan banjir perlu disegerakan.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, beliau sudah meminta supaya perbendaharaan negara dan Kementerian Ekonomi memberi kelonggaran mempercepatkan peruntukan yang diperlukan.

"Dua malam lalu saya sempat menelefon Ketua Pengarah ICU (Unit Penyelarasan Pelaksanaan) sampai tengah malam, untuk memastikan kita pantau umpamanya projek kemiskinan tegar.

"Kejayaanya baik, Alhamdulillah. Tetapi jumlahnya itu bertambah. Saya periksa umpamanya di Parlimen Tambun, berapa kekal kemiskinan tegar? Ada dalam 15 (keluarga miskin tegar), saya sebut kepada rakan-rakan di Tambun, 15 itu boleh cari dan selesaikan dua hari, supaya kemiskinan tegar itu dapat dibereskan," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Perhimpunan Bulanan Jabatan Perdana Menteri di Putrajaya pada Isnin.

Beliau memaklumkan turut memantau rapat perkembangan soal tebatan banjir dengan mendapatkan maklumat daripada Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof terutama soal tebatan banjir dan meminta pihak perbendaharaan memberi kelonggaran menyegerakan melalui memberi peruntukan segera.

"Ini maksud saya, memantau sentiasa. Walaupun kita harus tahun dia selesai bulan Oktober, bulan November dia tambah orang lagi. Jadi yang itu kita terima. Ini maksud saya sekecil-kecil masalah ini, walaupun kecil bagi saya, soal kemiskinan tegar itu besar bagi keluarga itu," katanya.