Dr Zaliha berkata, projek berkenaan merupakan fokus utama Jabatan Wilayah Persekutuan tahun ini dan beliau telah meminta Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) untuk menyegerakan bancian bagi memuktamadkan bilangan peniaga di kawasan itu dalam tempoh dua minggu.
Beliau berkata, perkara itu penting bagi memastikan perancangan dan tindakan seterusnya dapat dimulakan sekali gus tidak tertangguh lagi.
"Isu pembangunan semula pasar ini merupakan isu legasi yang perlu segera diselesaikan dan tak boleh tertangguh lagi. Bangunan pasar ini sudah terlalu lama dan uzur, menginjak ke usia 50 tahun dan turut menimbulkan risiko keselamatan kepada peniaga dan pengunjung.
"Kebakaran juga pernah berlaku dan ini menyumbang kepada risiko keselamatan, jadi pembangunan semula adalah langkah terbaik bagi memastikan pasar ini lebih selamat dan kondusif untuk semua," katanya menerusi hantaran di Facebook yang berkongsi mengenai lawatannya ke kawasan pasar itu, semalam.
Dr Zaliha berkata, projek pembangunan semula itu boleh dilaksanakan secara teratur dan berfasa, mengambil kira kepentingan aktiviti perniagaan sedia ada supaya tidak terjejas.
"Saya mahu melihat premis ini sebagai sebuah pasar yang lebih selesa, bersih, selamat dan dilengkapi dengan kemudahan yang lebih moden demi kesejahteraan semua dan dalam masa yang sama dapat meningkatkat pendapatan peniaga," katanya.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika mengadakan lawatan ke Pasar Dato Keramat pada 26 Julai lepas dilaporkan mahu DBKL memberi perhatian dan keutamaan kepada pembangunan semula bangunan itu yang dilihat sangat daif.
Dr Zaliha dalam pada itu memaklumkan, beberapa langkah telah dilaksanakan selepas lawatan Perdana Menteri, antaranya melibatkan kerja naik taraf tandas dan memperbaiki pendawaian elektrik.
-- BERNAMA
![](https://img.astroawani.com/2024-10/51729493751_freesize.jpg)