MELAKA: Projek Rintis Taman Bimbingan Kanak-Kanak (Tabika Berkeperluan Khas) dengan kerjasama Jabatan Kemajuan Masyarakat (KEMAS) bagi Program Pembangunan Anak-anak Autisme di negeri ini dijangka mula beroperasi Julai depan.

Ketua Menteri, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh berkata, Melaka menjadi negeri pertama melaksanakan program itu dengan peruntukan RM300,000 bagi menjayakannya di tiga Tabika Berkeperluan Khas iaitu di Alor Gajah, Merlimau dan Hang Tuah Jaya.

"Dengan mewujudkan Tabika Berkeperluan Khas ini, kita dapat memberi ruang kepada kanak-kanak autisme belajar dalam persekitaran yang lebih selesa dan sesuai, sekali gus membantu mereka memperoleh pendidikan yang memenuhi keperluan unik mereka.

"Inisiatif ini merupakan satu langkah strategik yang amat penting dalam memperkembangkan pendidikan inklusif di negara kita," katanya ketika berucap di Kompleks Komuniti KEMAS, Telok Mas di sini pada Khamis..

Terdahulu, beliau merasmikan Program Pemerkasaan Masyarakat MADANI KEMAS peringkat negeri yang turut dihadiri Ketua Pengarah KEMAS, Datuk Mohd Hanafiah Man.

Mengulas lanjut, Ab Rauf berkata, usaha itu juga membuktikan keprihatinan kerajaan negeri melalui KEMAS dalam memastikan semua golongan menerima pendidikan berkualiti.

Beliau berkata, dengan sokongan daripada semua pihak terutamanya pendidik, masyarakat terlatih dan penyediaan fasiliti sesuai, perubahan positif dalam perkembangan kanak-kanak autisme akan dapat dilihat.

"Semoga usaha ini dapat terus berkembang dan memberi manfaat kepada lebih ramai lagi kanak-kanak autisme di negara ini," kata Ab Rauf lagi. - BERNAMA