Pengarah PTG negeri Mohd Faizal Abdul Manap berkata pihaknya bersama JMG dan wakil rakyat telah ke lokasi berkenaan semalam, namun tiada sebarang penemuan.
Beliau berkata hasil siasatan itu, beberapa sampel mineral diambil bagi mendapatkan pengesahan makmal berkenaan mineral yang ada di situ.
"Hasil siasatan awal mendapati tiada emas ditemukan di situ, namun pihak JMG tetap mengambil beberapa sampel di lokasi berkenaan untuk ujian lanjut di makmal bagi mendapatkan kepastian," katanya kepada Bernama di sini hari ini.
Mohd Faizal berkata setakat ini hanya sebuah syarikat sahaja diberi lesen melombong emas di Gemas, namun kerja melombong masih belum bermula berikutan mereka belum lagi menerima skim pengoperasian daripada JMG.
Semalam, media melaporkan kerajaan negeri telah mengarahkan PTGNS dan JMG negeri menyiasat dakwaan berkaitan penemuan emas di sebuah kawasan di Lenggeng di sini.
Menteri Besar Datuk Seri Aminuddin Harun berkata pihaknya sebelum ini hanya dimaklumkan tentang kerja-kerja membaiki hakisan tanah pasir di kawasan itu dan tiada kaitan dengan aktiviti melombong emas.
-- BERNAMA