GEORGE TOWN: Polis Pulau Pinang mencatatkan 7,852 kes jenayah penipuan dalam talian melibatkan kerugian RM312.86 juta dari 2022 hingga tahun lepas.

Timbalan Ketua Polis Pulau Pinang Datuk Mohd Alwi Zainal Abidin berkata daripada jumlah itu, jenayah penipuan membabitkan telekomunikasi mencatatkan kes tertinggi, iaitu 2,938 kes dengan kerugian berjumlah RM101.5 juta.

"Ia diikuti jenayah penipuan e-dagang sebanyak 2,204 kes dengan kerugian RM34.3 juta manakala jenayah penipuan pelaburan tidak wujud merekodkan 1,242 kes membabitkan jumlah kerugian paling tinggi sebanyak RM126.8 juta.

"Secara keseluruhannya, trend jenayah dalam talian di negeri ini terus meningkat dari segi jumlah kes dan nilai kerugian. Hal ini menunjukkan modus operandi penipuan semakin berkembang dan membawa impak kewangan besar kepada mangsa," katanya.

Mohd Alwi berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Pelancaran Kod QR Kesedaran Scam "Elak Kena Scam" di sini semalam, yang merupakan inisiatif bersama Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia (MCPF) Pulau Pinang dan polis Pulau Pinang serta turut dihadiri Pengerusi MCPF negeri Datuk Seri Ong Poh Eng.

Mohd Alwi berkata purata kes penipuan dalam talian pada tahun lepas adalah kira-kira tujuh kes sehari dengan kerugian RM36,164 setiap mangsa, yang disifatkan sebagai sangat besar.

"Mangsa kes penipuan dalam talian terdiri daripada semua lapisan masyarakat termasuk pensyarah, guru, pekerja kilang dan sebagainya. Bagi kes pelaburan tidak wujud, kebanyakan mereka terperdaya kerana ditawarkan pulangan tinggi," katanya.

Sehubungan dengan itu, Mohd Alwi berkata usaha kesedaran seperti kod QR Kesedaran Scam penting untuk dilaksanakan bagi mendidik masyarakat tentang risiko penipuan dalam talian dan cara melindungi diri daripada jenayah itu.

Mengulas tentang kod QR berkenaan, beliau berkata ia dilengkapi infografik mudah difahami dan boleh diakses serta dimuat turun orang ramai, yang diharap dapat memberi impak berkesan dalam meningkatkan kesedaran dan informasi berkaitan kepada masyarakat.

-- BERNAMA