Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Alam Sekitar Datuk Seri S. Sundarajoo berkata ia akan dimulakan dengan kempen pengagihan beg guna semula secara percuma di seluruh negeri bagi menggalakkan penggunaannya dan membantu penduduk beralih kepada amalan lebih lestari.
"Kita akan memberikan tempoh enam bulan bagi peringkat penguatkuasaan secara berhemah iaitu bermula dari 1 Mac hingga 31 Ogos tahun ini bagi membolehkan perniagaan dan orang awam membiasakan diri dengan peraturan baharu itu. Penguatkuasaan penuh akan bermula 1 Sept.
"Buat permulaan Pulau Pinang Green Council akan bekalkan 100,000 beg kitar semula kepada penduduk negeri ini selama tiga bulan pertama kempen dan selepas itu, beg berkenaan akan dijual kepada pembeli," katanya kepada pemberita selepas melancarkan Kempen Tiada Beg Plastik Setiap Hari Pulau Pinang 2025 di Terminal Swettenham Pier Cruise di sini hari ini.
Program 'tiada beg plastik percuma' diperkenalkan kerajaan negeri pada 2009 sekali gus menyaksikan Pulau Pinang negeri pertama mengarahkan peniaga tidak membekalkan beg plastik kepada pelanggan secara percuma.
Sundarajoo berkata sebelum ini Pulau Pinang memperkenalkan tiada beg plastik pada Isnin hingga Rabu manakala Khamis hingga Jumaat, setiap beg plastik dikenakan caj RM1 sementara kerajaan negeri telah mengutip RM8 juta hasil program itu sejak 2009.
Kempen tiada beg plastik setiap hari itu bukan sekadar dasar tetapi satu seruan untuk membentuk budaya kelestarian serta menyeru setiap penduduk negeri berkenaan untuk mengurangkan sisa plastik selain menyumbang ke arah masa depan lebih bersih dan hijau.
"Kita juga ingin menekankan peranan perniagaan di negeri ini terutamanya yang diwajibkan mematuhi peraturan Beg Plastik 2.0. iaitu pasar raya besar, gedung serbaneka, kedai serbaneka, pasar raya, restoran makanan segera, kedai serbaneka di stesen minyak, rangkaian kedai, farmasi dan premis perniagan," katanya gerai, penjaja dan peniaga kecil diberikan pengecualian.
Beliau memaklumkan kerajaan negeri sedang merangka satu rangka kerja komprehensif bukan sahaja untuk membasmi penggunaan beg plastik tetapi juga mengurangkan penggunaannya di seluruh Pulau Pinang secara beransur-ansur.
-- BERNAMA
![](https://img.astroawani.com/2024-10/51729493751_freesize.jpg)