Ringkasan AI
- Raja Muda Selangor Tengku Amir Shah menyempurnakan Konvensyen Integriti Nasional 2026 sempena Bulan Integriti Nasional di Shah Alam hari ini.
- Ketua Setiausaha Negara menyeru penjawat awam mengamalkan tadbir urus berintegriti, elak salah guna kuasa dan utamakan penyampaian perkhidmatan yang adil serta berperikemanusiaan.
- Tengku Amir melancarkan buku terbitan Institut Integriti Malaysia yang menghimpunkan analisis titah dan amanat Sultan Selangor berkaitan kepimpinan berintegriti dan kesejahteraan rakyat.
SHAH ALAM: Raja Muda Selangor Tengku Amir Shah berkenan menyempurnakan Konvensyen Integriti Nasional (KIN) 2026 bersempena dengan Bulan Integriti Nasional di Pusat Konvensyen Majlis Bandaraya Shah Alam, di sini hari ini.
Keberangkatan baginda, bagi mewakili Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah, disambut oleh Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar dan Menteri Besar Selangor Datuk Seri Amirudin Shari.
Yang turut hadir pada majlis hari ini ialah Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor Datuk Dr Ahmad Fadzli Ahmad Tajuddin serta Ketua Pegawai Eksekutif Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) Datin Paduka Nur-ul Afida Kamaludin.
Shamsul Azri dalam sembah ucapannya menyeru anggota perkhidmatan awam untuk menterjemahkan tuntutan keadilan dan ihsan melalui tadbir urus yang berintegriti.
Beliau berkata perkara itu boleh dilakukan antara lain dengan mengelakkan perbuatan salah guna kuasa, pengurusan sumber awam yang berhemat serta penyampaian perkhidmatan yang adil, cekap dan berperikemanusiaan.
Shamsul Azri berkata perkara itu selaras dengan titah Sultan Sharafuddin pada Istiadat Pembukaan Persidangan Dewan Negeri Selangor ke-13 pada Mac lepas, yang menegaskan bahawa nilai integriti yang dihayati dengan baik akan menyumbang kepada pembangunan dan seterusnya memanfaatkan rakyat.
“Setiap penjawat awam hendaklah sentiasa menginsafi bahawa di sebalik setiap dasar, keputusan dan tindakan pentadbiran, terdapat amanah serta harapan rakyat yang perlu dipelihara,” katanya.
Pada majlis sama, Tengku Amir turut berkenan melancarkan buku Kepimpinan Sultan Selangor dalam Integriti, Tatakelola dan Kesejahteraan Negeri: Daulat Tuanku, terbitan Institut Integriti Malaysia (IIM).
Buku berkenaan menghimpunkan analisis terhadap titah dan amanat Sultan Selangor sepanjang tempoh 2002-2026, yang diterjemahkan kepada prinsip kepimpinan beramanah, tatakelola berintegriti, perpaduan dan kesejahteraan rakyat.
IIM dalam kenyataan memaklumkan buku itu bukan sekadar mendokumentasikan pemikiran dan pandangan baginda, malah turut mengetengahkan nilai kepimpinan yang boleh dijadikan pedoman oleh pemimpin organisasi, penjawat awam dan masyarakat dalam memperkukuh budaya integriti serta tanggungjawab terhadap amanah yang dipikul.
-- BERNAMA