KUALA LUMPUR: Pengukuhan identiti digital dan kerjasama merentas sektor menjadi antara keutamaan dalam memperkukuh pertahanan siber negara susulan ancaman digital yang semakin kompleks.
Ketua Eksekutif Agensi Keselamatan Siber Negara (NACSA), Ir Megat Zuhairy Megat Tajuddin berkata, ekosistem pengesahan identiti yang dipercayai memainkan peranan penting dalam melindungi infrastruktur digital serta memastikan kedaulatan siber Malaysia terus terpelihara.
“Identiti digital berpaksikan pembentukan elemen kebolehpercayaan Ekosistem pengesahan fizikal dan digital perlu saling melengkapi bagi menjamin kestabilan serta keselamatan prasarana digital negara,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan persidangan rawSEC MiniCon 2026 bertemakan A Cyber Counterintelligence MiniCon di TNB Platinum, Bangsar, pada 31 Oktober lalu.
Persidangan anjuran Komuniti Keselamatan Siber Malaysia (rawSEC) dengan kerjasama Pertubuhan Komuniti Keselamatan Siber Malaysia (MCCO) itu memberi tumpuan kepada strategi risikan balas siber bagi menangani ancaman pengintipan digital serta memperkukuh kesiapsiagaan pengamal keselamatan siber tempatan.
Sementara itu, Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif MyDigital ID Sdn. Bhd., Ir Ts Azrin Aris menekankan kepentingan Pengesahan Pelbagai Faktor (MFA) bagi mengurangkan risiko eksploitasi identiti digital.
“Peralihan daripada kaedah pengesahan tunggal tradisional kepada pelaksanaan Pengesahan Pelbagai Faktor (Multifactor Authentication - MFA) terbukti mampu meningkatkan tahap keselamatan dan integriti identiti digital secara signifikan,” jelasnya.
Aspek keselamatan Infrastruktur Maklumat Kritikal Negara (NCII) turut menjadi perhatian apabila Ketua Pegawai Operasi Keselamatan Siber Tenaga Nasional Berhad (TNB), Nasrin Abg Omar mengingatkan bahawa kelemahan pertahanan siber berpotensi mengganggu bekalan tenaga dan menjejaskan operasi infrastruktur asas negara.
Sementara itu, Pengerusi rawSEC dan MCCO, Tahrizi Tahreb memaklumkan komuniti berkenaan kini mempunyai lebih 3,000 pengamal keselamatan siber berbanding hanya 15 ahli ketika penubuhannya pada 2017.
Perkembangan itu turut diperkukuh melalui program kesedaran keselamatan siber serantau (RECAP) serta kerjasama dengan ASEAN-Japan Cybersecurity Community Alliance (AJCCA) bagi memperluas pembangunan bakat dan perkongsian kepakaran keselamatan siber.