PUTRAJAYA: Mahkamah Rayuan hari ini menolak rayuan Peguam Negara (AG) terhadap keputusan Mahkamah Tinggi yang memberi kebenaran kepada peguam Rosli Dahlan untuk memulakan semakan kehakiman terhadap Polis Diraja Malaysia, Jabatan Imigresen dan kerajaan yang didakwa menangkap serta menahannya secara salah pada Oktober 2023.

Dalam keputusan sebulat suara, panel tiga hakim yang terdiri daripada Datuk Supang Lian, Datuk Lim Chong Fong dan Datuk Azizul Azmi Adnan memutuskan bahawa rayuan itu tidak mempunyai merit.

"Kami berpuas hati dengan fakta kes ini, bahawa ini (permohonan semakan kehakiman Rosli) bukan permohonan remeh dan pemohon (Rosli) mempunyai kes yang boleh dipertikaikan," kata Hakim Supang yang mengetuai panel itu semasa menyampaikan keputusan mahkamah.

Beliau juga berkata mahkamah berpendapat berdasarkan perkembangan semasa dalam undang-undang, siasatan jenayah mungkin tertakluk kepada semakan kehakiman berikutan kes Datuk N.Sundra Rajoo.

Peguam Kanan Persekutuan Rahazlan Affandi Abdul Rahim berhujah bahawa cabaran semakan kehakiman Rosli adalah berkaitan penangkapan, penahanan, pembekuan akaun banknya dan pengenaan larangan perjalanan, adalah berkaitan dengan tindakan yang diambil semasa penyiasatan jenayah dan oleh itu kebenaran semakan kehakiman tidak seharusnya diberikan.

Peguam utama Rosli Datuk D.P.Naban pula dalam hujah balasnya berkata penghakiman Mahkamah Tinggi telah menunjukkan wujudnya mala fide dalam proses penyiasatan kerana pejabat Rosli telah diserbu dan dia (Rosli) telah ditangkap dan direman.

Pada April tahun lepas, hakim Mahkamah Tinggi Datuk Ahmad Kamal Md Shahid (kini hakim Mahkamah Rayuan) memberi kebenaran kepada Rosli untuk memulakan permohonan semakan kehakiman.

Pada 29 Dis 2023, Rosli memfailkan permohonan itu dengan menamakan Ketua Polis Negara Tan Sri Razarudin Husain@Abd Rasid, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf, Ketua Pasukan Siasatan Jenayah Pengubahan Wang Haram Urussetia Ketua Polis Negara Datuk Muhammad Hasbullah Ali serta Timbalannya ACP Foo Wei Min, dan Pegawai Penyiasat Supt Mohd Faizal Mohd Atan sebagai responden pertama hingga kelima.

Turut dinamakan Ketua Pengarah Jabatan Imigresen Datuk Seri Khairul Dzaimee Daud, Polis Diraja Malaysia, Jabatan Imigresen dan kerajaan.

Rosli memohon perintah untuk membatalkan keputusan atau tindakan responden, yang didakwa menyalahgunakan kuasa mereka dengan mengaitkan beliau dengan laporan polis berkaitan i-Serve Technology and Vacations Sdn Bhd (i-Serve), yang tiada kena-mengena dengannya.

Beliau juga memohon perintah bahawa tindakan kelima-lima responden yang menyebabkan tangkapan, penahanan dan tahanan reman terhadapnya pada 26 Okt 2023, serta membekukan akaun banknya menyalahi undang-undang serta melanggar hak asasi di bawah Perlembagaan Persekutuan.

Peguam Harvinderjit Singh yang turut mewakili Rosli dalam prosiding hari ini memberitahu mahkamah bahawa Mahkamah Tinggi telah menetapkan 23 Jun ini untuk mendengar merit semakan kehakiman Rosli.

-- BERNAMA