PUTRAJAYA: Mahkamah Rayuan menetapkan 6 Mei sebagai tarikh keputusan berhubung rayuan Kerajaan, Majlis Angkatan Tentera Malaysia dan dua pihak lain mengenai keputusan yang memihak kepada pelarasan pencen pesara Angkatan Tentera Malaysia (ATM) yang bersara sebelum 1 Jan 2013.


Ringkasan AI
  • Mahkamah Rayuan menetapkan 6 Mei sebagai tarikh keputusan berhubung rayuan kerajaan dan pihak lain mengenai pelarasan pencen pesara Angkatan Tentera Malaysia (ATM) yang bersara sebelum 1 Jan 2013.
  • Mahkamah Tinggi sebelum ini memutuskan bahawa pesara ATM yang bersara sebelum 1 Jan 2013 berhak menerima pelarasan pencen yang sama seperti pesara selepas tarikh tersebut.
  • Kerajaan didakwa gagal melaksanakan pelarasan pencen baharu untuk pesara ATM yang bersara sebelum 1 Jan 2013, menyebabkan jurang pencen yang ketara antara pesara sebelum dan selepas tarikh tersebut.


Peguam Mohamed Haniff Khatri Abdulla memaklumkan kepada Bernama mengenai tarikh tersebut selepas sesi pengurusan kes hari ini di hadapan Timbalan Pendaftar Mahkamah Rayuan Mohd Syafiq Mustaza.

Pada sesi pengurusan kes tersebut Mohamed Haniff Khatri mewakili 50 pesara ATM, manakala Peguam Persekutuan M. Kogilambigai mewakili kerajaan.

Pada 21 Jan, panel tiga hakim Mahkamah Rayuan terdiri daripada Hakim Datuk Hashim Hamzah, Datuk Wong Kian Kheong dan Datuk Ismail Brahim, telah mendengar rayuan itu dan menangguhkan keputusan mereka.

Kerajaan, Perdana Menteri, Menteri Pertahanan dan Majlis Angkatan Tentera Malaysia telah merayu terhadap keputusan Mahkamah Tinggi berpihak kepada 50 pesara ATM yang menyaman mereka berhubung pelarasan pencen bagi pesara yang bersara sebelum 1 Jan 2013.

Pada 5 Feb tahun lepas, Pesuruhjaya Kehakiman Dr Suzana Muhammad Said memutuskan bahawa semua pesara ATM yang bersara sebelum 1 Jan 2013 berhak menerima pelarasan pencen mengikut kadar dan kaedah yang digunakan untuk pesara yang bersara selepas tarikh tersebut.

Beliau juga memutuskan bahawa kerajaan telah melanggar peruntukan di bawah Perkara 137 dan/atau Perkara 8 Akta Angkatan Tentera Malaysia 1972, kerana gagal membuat pelarasan pencen yang sewajarnya bagi pesara ATM yang bersara sebelum 1 Jan 2013.

Seramai 50 anggota tentera pelbagai pangkat termasuk mejar, leftenan, staf sarjan dan prebet, telah memfailkan saman pemula pada 17 Nov 2022, bagi mendapatkan deklarasi bahawa kerajaan telah melanggar peruntukan di bawah Perkara 137 atau Perkara 8 Perlembagaan Persekutuan, yang dibaca bersama dengan Seksyen 187 Akta Angkatan Tentera Malaysia 1972, kerana gagal melaksanakan pelarasan pencen baharu untuk pesara ATM yang bersara sebelum 1 Jan 2013.

Semasa prosiding pada 21 Jan tahun ini, Peguam Kanan Persekutuan Ahmad Hanir Hambaly@Arwi, yang mewakili kerajaan dan tiga pihak lain, berhujah bahawa pesara ATM tidak berhak mendapat pelarasan pencen selepas 2012 kerana tiada semakan gaji sehingga kerajaan MADANI memperkenalkan Sistem Saraan Perkhidmatan Awam (SSPA) baru-baru ini.

Beliau berkata terdapat lima semakan gaji dari tahun 2002 hingga 2012 dan kerajaan telah membuat pelarasan terhadap pencen pesara ATM.

Bagaimanapun, Mohamed Haniff berkata kerajaan telah gagal melaksanakan pelarasan pencen baharu untuk semua pesara ATM yang bersara sebelum 1 Jan 2013. Beliau menyatakan terdapat jurang pencen yang ketara antara pesara ATM yang bersara sebelum 1 Jan 2013 dan mereka yang bersara selepas tarikh tersebut.

-- BERNAMA