JOHOR BAHRU: Golongan remaja perempuan Malaysia berdepan dengan risiko menghidap masalah kesihatan berkaitan mental termasuk kemurungan, dua kali ganda lebih tinggi berbanding remaja lelaki, kata Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Noraini Ahmad.

Beliau berkata, ia dibuktikan berdasarkan Tinjauan Kebangsaan Kesihatan dan Morbiditi (NHMS) 2022 yang menunjukkan 26.9 peratus remaja memenuhi kriteria kemurungan, dengan prevalens lebih tinggi dalam kalangan perempuan iaitu 36.1 peratus berbanding lelaki hanya 17.7 peratus.

"Angka ini menunjukkan wanita berisiko dua kali ganda lebih murung daripada lelaki. Ini antara gambaran cabaran yang dihadapi wanita masa kini," katanya berucap pada Majlis Sambutan Hari Wanita Antarabangsa 2025 Peringkat Zon Selatan, di sini, pada Isnin.

Beliau berkata, program 'Jiwa Kuat, Wanita Sihat' sempena sambutan itu diharap dapat memupuk kekuatan jiwa dan kesihatan yang baik kepada golongan wanita supaya mereka terus dapat berdaya saing dan menyumbang bakti kepada keluarga, masyarakat dan negara.

Noraini berkata, Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) melalui Jabatan Pembangunan Wanita (JPW) komited melaksanakan pelbagai usaha bagi membantu wanita dalam aspek kesihatan termasuk menguruskan tekanan dan mencapai keseimbangan dalam kehidupan.

"Program sokongan psikososial, kaunseling dan inisiatif kesihatan mental juga diperluas agar semua wanita, tanpa mengira latar belakang mendapat bantuan sewajarnya, selari dengan konsep Kerajaan MADANI yang sentiasa memastikan hak dan kebajikan wanita sentiasa terbela," katanya.

Sementara itu, bercakap kepada pemberita, Noraini berkata, tiada mana-mana taska yang dahulunya dikendalikan GISB Holdings Sdn Bhd (GISBH) bagi menempatkan anak-anak pengikut pertubuhan itu, beroperasi setakat ini.

Beliau berkata, sehingga kini terdapat 13 anak bekas anggota GISBH yang berusia bawah 18 tahun masih berada di bawah jagaan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), termasuk yang dikembalikan penjaga kepada agensi itu. - BERNAMA