Sangkaan Ridzuan bunyi itu berkemungkinan kemalangan kenderaan memandangkan rumahnya berhampiran lebuh raya dan sering berlaku kecelakaan.
Bagaimanapun, sangkaan Ridzuan ternyata meleset apabila bunyi dentuman yang didengarinya pada awal pagi itu rupanya tubuh isterinya, Akiko Okumura yang terjatuh dari tingkat empat unit kondominum di SS16
Subang Jaya, Selangor yang juga kediaman mereka tiga beranak.
Mengimbas detik-detik sukar yang dilaluinya, Ridzuan berkata, seperti kelazimannya menjadi kebiasaan bagi dia dan Allahyarham isterinya akan melakukan pemeriksaan di sekitar kediamannya sebelum mereka masuk tidur.
"Selalunya abang akan pergi ‘check’ bersama isteri jika ada sebarang kejadian, tetapi pada malam tersebut abang terlalu penat dan terus tidur,” katanya membahasakan dirinya dengan panggilan abang menerusi siaran ‘live’ di TikTok.
Dikenali dengan nama Ridz Okumura atau nama sebenarnya, Abd. Ridzuan Abdul Mutalib, 50, menyambung cerita dengan memaklumkan, pada keesokan harinya, sebaik bangun dari tidur, dia dapat merasakan kelainan tidak seperti hari-hari sebelum itu.
Isteri tercintanya, Akiko tidak menyediakan sarapan untuk anak mereka, Sky Taizo Okumura seperti yang sudah menjadi rutin hariannya.
“Abang sudah mula tak sedap hati segera ke bilik kami dan mendapati tingkap bilik sudah pun terbuka dan rosak,” kata Ridzuan yang mula gusar, gelisah dan mengesyaki seperti ada sesuatu yang tidak kena.
Sejurus itu, dia segera bergegas turun ke bilik air utama dengan memanjat tingkap dan mendapati isterinya berada dalam keadaan tertiarap di atas tanah.
“Abang tak fikir panjang, terus minta pengawal keselamatan untuk menelefon pihak ambulans dan polis.
“Disebabkan arwah jatuh dalam keadaan yang baik, abang tidak mengalihkan badannya kerana sangka dia masih bernyawa,” tambahnya.
Dalam pada itu, dia yang masih dalam keadaan sedih akibat kehilangan isteri tercinta turut meminta orang ramai berhenti membuat andaian mengenai kematian Allahyarha Akiko.
Semalam, Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan mengesahkan kematian wanita warga Jepun yang maut terjatuh dari tingkat empat sebuah kondominium di SS16, Subang Jaya, dekat sini pagi Jumaat lalu adalah isteri kepada usahawan dan pempengaruh, Ridzuan Ridzokumura.
Bagaimanapun, jelas beliau, siasatan polis mendapati tiada unsur jenayah dalam kejadian tersebut.
Menurut Hussein, siasatan tetap dijalankan secara menyeluruh dengan mengambil kira semua aspek.
Katanya, ketika ini kes itu diklasifikasikan sebagai laporan kematian mengejut (SDR).
