Skip to main content

Malaysia

RIMAU gesa tindakan segera selamatkan harimau Malaya daripada pupus

Populasi harimau negara yang merosot kepada kurang daripada 150 ekor berdasarkan Tinjauan Harimau Kebangsaan (2016-2020) menunjukkan bahawa pemangsa puncak itu kini berada di ambang kepupusan. - Gambar fail
Populasi harimau negara yang merosot kepada kurang daripada 150 ekor berdasarkan Tinjauan Harimau Kebangsaan (2016-2020) menunjukkan bahawa pemangsa puncak itu kini berada di ambang kepupusan. - Gambar fail

Advertisement

KUALA LUMPUR: Usaha melindungi harimau Malaya yang diancam kepupusan memerlukan tindakan segera dan bersepadu bagi membendung kemerosotan populasi seterusnya mengelakkan spesies itu daripada pupus.

Presiden Persatuan Pelindung Harimau Malaysia (RIMAU) Lara Ariffin berkata populasi harimau negara yang merosot kepada kurang daripada 150 ekor berdasarkan Tinjauan Harimau Kebangsaan (2016-2020) menunjukkan bahawa pemangsa puncak itu kini berada di ambang kepupusan.

“Kita sudah kehilangan badak Sumatera. Harimau kini berada di ambang titik kritikal dan jika kita tidak mengambil sebarang tindakan, spesies ini akan menuju kepupusan, sesuatu yang tidak mampu kita biarkan berlaku sebagai sebuah negara,” katanya dalam temu bual bersama Bernama di luar persidangan Global Tipping Points Conference 2026, di sini hari ini.

Beliau berkata kehilangan dan fragmentasi habitat sebagai ancaman utama terhadap usaha pemuliharaan harimau, sambil menyatakan bahawa litupan hutan di Semenanjung Malaysia kini hanya tinggal 43 peratus, manakala wabak demam babi Afrika telah mengurangkan populasi babi hutan yang menjadi antara sumber makanan harimau.

“Apabila pemangsa puncak pupus, keseluruhan ekosistem hutan akan terjejas, sekali gus menjejaskan bekalan air bersih dan pengawalan iklim yang menjadi kebergantungan manusia secara langsung,” katanya.

Lara memuji peningkatan peruntukan kerajaan bagi usaha pemuliharaan di lapangan, dengan belanjawan terkini menyediakan peruntukan untuk 2,500 renjer komuniti, namun beliau mengingatkan bahawa kawasan hutan penting, termasuk di Perak, masih beroperasi dengan hanya 60 peratus daripada jumlah renjer yang diperlukan.

“Saya fikir kita boleh menambah baik usaha ini, tetapi ia memerlukan kerjasama semua pihak. Bukan sahaja kerajaan, malah pertubuhan bukan kerajaan (NGO), masyarakat umum dan sektor swasta juga perlu memainkan peranan dalam membantu menyelamatkan harimau Malaya.

“Pemahaman tentang gambaran yang lebih menyeluruh masih kurang, justeru kesedaran masyarakat tentang nilai yang dimiliki oleh hutan kita perlu terus dipertingkatkan,” katanya.

Lara menggesa syarikat perladangan dan pihak swasta menghentikan aktiviti pembukaan hutan baharu serta memulihkan koridor ekologi bagi menangani fragmentasi habitat, manakala RIMAU telah melancarkan Laya Liar, sebuah siri digital sebanyak 72 episod di YouTube dan Facebook, untuk meningkatkan kesedaran masyarakat serta menyemai minat generasi muda terhadap alam semula jadi.

“Setiap orang mempunyai peranan bagi memastikan kisah harimau Malaya kita tidak berakhir sekadar menjadi kenangan yang diceritakan kepada generasi akan datang, bermula dengan ungkapan ‘suatu masa dahulu’,” katanya.

-- BERNAMA

Must Watch Video

Advertisement