Ada yang berpendapat, pindaan RUU ini menjadi langkah penting dalam menyeimbangkan kebebasan bersuara dan kebertanggungjawaban dalam ekosistem digital di Malaysia.
Namun, ada segelintir rakyat yang tidak bersependapat dengan mengatakan penguatkuasaan undang-undang ini akan menyekat kebebasan bersuara rakyat.
Bagaimanapun, RUU 588 tidak bertujuan menyekat kebebasan media atau kreativiti pengamal media, tetapi lebih kepada melindungi rakyat daripada penyalahgunaan platform digital.
Langkah ini diyakini akan memberi perlindungan kepada pengguna terhadap ancaman seperti buli siber, penyebaran fitnah, dan maklumat palsu tanpa menjejaskan kreativiti penghasilan kandungan media.
Menerusi akta ini juga, platform media sosial diwajibkan mengambil tindakan proaktif terhadap pelanggaran undang-undang, dengan risiko hukuman jika gagal mematuhi notis pihak berkuasa.
Menurut Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil ketika sesi penggulungan RUU588 di Dewan Rakyat, kerajaan juga tidak mempunyai untuk melesenkan platform-platform media.
Namun, Seksyen 46(a) adalah terpakai kepada penyedia perkhidmatan.
Empat bentuk lesen yang disebutkan dalam Akta 588, iaitu ‘Network Facilities Provider’ (NFP), ‘Network Service Provider’ (NSP), ‘Applications Service Provider’ (ASP), dan ‘Content Applications Service Provider’ (CASP).
Jelasnya, pindaan akta ini bertujuan menyediakan perkhidmatan yang telah ditakrifkan di bawah Akta Komunikasi dan Multmedia dan tidak terpakai kepada orang awam.
Selain itu juga, RUU ini memperkenalkan definisi lebih jelas untuk istilah "jelik," yang kini merujuk kepada kandungan "jelik melampau".
Definisi ini bertujuan membantu pihak berkuasa dan mahkamah mentafsir dengan tepat kandungan yang melanggar undang-undang.
Dengan ini, risiko tafsiran yang terlalu luas atau sewenang-wenangnya dapat diminimumkan.
Antara lain, di bawah RUU ini, satira dan parodi tidak akan dianggap sebagai kesalahan jenayah secara automatik.
Bagaimanapun, kandungan tersebut perlu mematuhi garis panduan tertentu agar tidak melampaui batas yang boleh mencetuskan perpecahan atau kebencian.
Walaupun memperkenalkan batas tertentu, RUU 588 tetap menjamin hak rakyat untuk bersuara.
Batasan ini, seperti dijelaskan oleh Kementerian Komunikasi dan Digital, hanya bertujuan menghalang penyalahgunaan kebebasan tersebut.
Ini kerana dalam situasi-situasi tertenu, menggugat keharmonian Masyarakat boleh tergugat termasuk isu sensitif berkaitan kaum dan agama.
Dengan penggubalan RUU 588, Malaysia berusaha mencipta ekosistem digital yang lebih bertanggungjawab dan harmoni.
Meskipun terdapat kebimbangan terhadap pelaksanaan undang-undang ini, langkah ini memberikan peluang untuk mengukuhkan nilai kebebasan bersuara dengan prinsip tanggungjawab sosial yang jelas.