Skip to main content

Malaysia

Sabah pergiat usaha diplomatik, yakinkan misi asing keselamatan ESSZone

41546324933_PULAUSIPADAN.jpg
Penyampaian maklumat yang berkesan kepada kedutaan dan suruhanjaya tinggi asing berhubung perkembangan positif dalam aspek keselamatan akan meningkatkan keyakinan pelancong antarabangsa. - Gambar hiasan
Advertisement

KOTA KINABALU: Usaha diplomatik perlu dipergiat bagi meyakinkan misi asing menurunkan nasihat perjalanan ke Zon Selamat Sabah Timur (ESSZone) susulan peningkatan berterusan tahap keselamatan di kawasan itu, kata Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor.

Beliau berkata penyampaian maklumat yang berkesan kepada kedutaan dan suruhanjaya tinggi asing berhubung perkembangan positif dalam aspek keselamatan akan meningkatkan keyakinan pelancong antarabangsa serta merancakkan kedatangan pelawat ke destinasi di pantai timur negeri itu.

“Ini penting supaya mereka dapat membuat penilaian semula, seterusnya mempertimbangkan untuk menurunkan nasihat perjalanan ke Sabah Timur berdasarkan perkembangan positif, khususnya fakta bahawa tiada kes penculikan untuk tebusan dilaporkan di kawasan itu sejak Januari 2020.

“Secara keseluruhan, keadaan keselamatan di ESSZone adalah baik dan terkawal,” katanya dalam kenyataan selepas mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Bersama ESSZone di Menara Kinabalu di sini hari ini.

Mesyuarat dipengerusikan bersama-sama Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail itu membuktikan penyelarasan strategik berterusan antara kerajaan negeri dan Persekutuan dalam aspek keselamatan maritim serantau.

Hajiji berkata beliau baru-baru ini telah melawat enam pulau di perairan Sabah bagi meninjau pos keselamatan serta menilai tahap kesiapsiagaan operasi di lapangan.

Beliau berkata rekod sifar penculikan yang berjaya dikekalkan sepanjang tempoh enam tahun lepas merupakan satu pencapaian penting hasil usaha Eastern Sabah Security Command (ESSCOM) dan pasukan keselamatan yang terlibat.

Hajiji turut menzahirkan setinggi-tinggi penghargaan kepada ESSCOM, Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) atas pengorbanan mereka menjaga sempadan darat dan perairan negeri itu.

Ketua Menteri itu memberi jaminan Kerajaan Negeri Sabah akan terus bekerjasama rapat dengan Kementerian Dalam Negeri bagi menaik taraf aset keselamatan, meningkatkan kesiapsiagaan operasi serta mengutamakan kebajikan anggota yang bertugas di kawasan sempadan.

Turut hadir pada mesyuarat itu Komander ESSCOM Datuk Victor Sanjos, Ketua Pegawai Eksekutif ESSCOM Datuk Jamaluddin Mohd Ali, Setiausaha Kerajaan Negeri Sabah Datuk Zainudin Aman serta Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri Datuk Awang Alik Jeman.

-- BERNAMA

 

Must Watch Video

Advertisement