Menteri Kewangan Sabah, Datuk Seri Masidi Manjun berkata ini berlaku berikutan pertumbuhan yang luar biasa pada tahun lepas yang mana sektor tersebut, menyaksikan kontrak yang diberikan kepada syarikat-syarikat Sabah melonjak dari RM613 juta pada 2021 kepada lebih daripada RM2 bilion.
Masidi, yang juga pengerusi SMJ Energy berkata untuk berjaya, syarikat-syarikat Sabah perlu bangkit dengan memenuhi piawaian ketat Petronas selain membentuk perkongsian strategik yang akan membuka kunci keupayaan dan pengalaman baharu.
"Ini merangkumi pencapaian kenaikan 50 hingga 100 peratus dalam kerja-kerja tempatan yang diberikan kepada syarikat-syarikat Sabah (dalam sektor ini) serta peningkatan 50 hingga 100 peratus dalam bilangan kontrak yang dipegang oleh syarikat-syarikat yang berpengalaman," katanya menerusi satu kenyataan di sini bersempena dengan pendedahan Unjuran Aktiviti Kinabalu (KAO) 2025-2027, jangkaan komprehensif selama tiga tahun memperincikan aktiviti huluan, hiliran, gas dan maritim di Sabah
KAO, yang dilancarkan secara bersama oleh Kerajaan Sabah dan Petronas pada 28 Feb lepas, merupakan pelan strategik yang direka bagi memperkasakan syarikat-syarikat OGSE tempatan dengan pandangan kritikal ke dalam peluang yang bakal dibentangkan oleh Petronas, anak syarikatnya dan kontraktor-kontraktor pengaturan petroleum lain (PAC). Ia akan menyediakan hala tuju yang jelas kepada syarikat OGSE tempatan untuk memanfaatkan peluang baru muncul termasuk mengukuhkan kedudukan mereka dalam industri.
Naib Presiden Kumpulan Petronas, Rashidah Alias berkata syarikat minyak nasional itu komited sepenuhnya untuk menyokong pertumbuhan dan pembangunan sektor OGSE Sabah.
-- BERNAMA
