Ringkasan AI
- Seorang anggota polis, Koperal Mohammad Hunter El Arash Jeanawie Untam, menutup jasad Zayn Rayyan Abdul Matin dengan baju sejuknya semasa menemukan kanak-kanak autistik itu dalam keadaan tidak sedarkan diri di aliran anak sungai berhampiran Apartment Idaman, Damansara Damai.
- Mohammad Hunter mendengar jeritan orang awam yang mengaku dirinya ayah Zayn Rayyan dan mengarahkan orang awam menghalang lelaki itu daripada menghampiri jasad kanak-kanak tersebut.
- Perbicaraan kes pengabaian terhadap Zayn Rayyan dihadapi oleh ibu bapa kanak-kanak itu, Zaim Ikhwan Zahari dan Ismanira Abdul Manaf, yang mengaku tidak bersalah atas pertuduhan mengabaikan anak mereka.
Koperal Mohammad Hunter El Arash Jeanawie Untam, 35, berkata kawasan itu penuh dengan dengan orang awam ketika kanak-kanak itu ditemukan, semasa operasi mencari Zayn Rayyan pada malam 6 Dis 2023.
"Saya dengar jeritan yang mengatakan 'dah jumpa tuan, dah jumpa tuan'.
"Saya bersama sekumpulan orang awam menyusuri anak sungai itu dan keadaan ketika itu gelap. Saya lihat keadaan arwah (Zayn Rayyan) ketika itu tidak sedarkan diri dan mengiring di atas batu pasir.
"Keadaan ketika itu riuh rendah dan saya bertindak membuka sweater saya, serta tutup arwah. Kami melindungi arwah daripada dihampiri dan diambil gambar oleh orang awam," katanya.
Beliau berkata demikian ketika pemeriksaan semula oleh Timbalan Pendakwa Raya (TPR) Aqharie Durranie Aziz, pada hari keenam perbicaraan kes pengabaian dihadapi ibu bapa kanak-kanak autistik itu Zaim Ikhwan Zahari dan isterinya Ismanira Abdul Manaf.
Mohammad Hunter yang merupakan anggota Balai Polis Petaling Jaya berkata sementara menunggu pihak forensik tiba di lokasi berkenaan, beliau terdengar jeritan orang awam yang mengaku dirinya ayah Zayn Rayyan.
"Saya dengar seorang orang awam menjerit 'siapa bunuh anak aku, aku nak peluk anak aku' dan saya mengarahkan orang awam menghalang tindakan lelaki itu untuk menghampiri arwah," katanya.
Saksi pendakwaan ke-13 itu berkata setibanya pihak forensik ke lokasi berkenaan, beliau memaklumkan kepada pasukan terbabit bahawa sweater yang menutupi jasad Zayn Rayyan adalah miliknya, sebelum beredar naik ke atas bagi memberi ruang kepada pasukan tersebut menjalankan tugas.
Kepada soalan peguam Haresh Mahadevan yang mewakili pasangan suami isteri itu, Muhammad Hunter berkata beliau tidak pasti orang awam yang mengikuti misi pencarian membuat rumusan bahawa Zayn Rayyan telah meninggal dunia atau dibunuh.
Beliau juga tidak pasti bahawa datuk kepada Zayn Rayyan iaitu Zahari Mohd Reba melihat keadaan cucunya dan telah memberitahu Zaim Ikhwan bahawa kanak-kanak itu telah dibunuh.
Sementara itu, seorang penduduk apartment itu Siti Natrah Ismail, 68, memberitahu mahkamah bahawa beliau ada melihat dua kanak-kanak berkejaran pada tengah hari 5 Dis 2023 semasa sedang menyidai kain di ampaian belakang rumahnya yang terletak di aras paling bawah di Blok R apartment berkenaan.
Bagaimanapun, saksi pendakwaan ke-12 itu berkata beliau tidak pasti siapakah dua kanak-kanak lelaki terbabit, yang masing-masing memakai baju sekolah dan berbaju putih serta seluar hitam.
"Masa saya masuk rumah, saya tidak nampak dua kanak-kanak itu dekat tangga depan rumah saya. Ini bermakna kanak-kanak itu sudah naik van sekolah," katanya yang tinggal di apartment itu selama 21 tahun.
Dalam pada itu, TPR Raja Zaizul Faridah Raja Zaharudin memohon agar prosiding perbicaraan yang berlangsung esok melibatkan dua saksi pendakwaan kanak-kanak dijalankan secara siar langsung, serta ditemani orang dewasa.
"Saksi-saksi itu tidak akan berada di dalam bilik mahkamah tetapi akan berada di lokasi lain dan keterangan mereka akan diambil melalui sambungan video.
"Pihak media tidak boleh mendedahkan identiti mereka dan boleh dikenakan denda sehingga RM10,000 atau penjara dua tahun atau kedua-duanya jika melanggar undang-undang," katanya.
Hakim Dr Syahliza Warnoh membenarkan permohonan prosiding itu berlangsung secara tertutup dan ditemani orang dewasa yang ditempatkan jauh daripada dua kanak-kanak terbabit.
"Pihak media tidak dibenarkan melapor apa-apa butiran mengenai kanak-kanak ini dan sebarang perkara yang berkaitan kes ini bagi melindungi kanak-kanak terbabit.
"Selain itu, mahkamah menetapkan Khamis ini bagi saksi-saksi yang terlibat membuat pengecaman lokasi kejadian.
"Maknanya, tiada pihak lain yang perlu hadir kecuali hakim, jurubahasa, timbalan pendakwa raya, peguam, tertuduh dan saksi-saksi yang terlibat," kata Syahliza.
Pada 13 Jun 2024, Zaim Ikhwan dan Ismanira kedua-duanya berumur 30 tahun mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Petaling Jaya atas satu pertuduhan mengabaikan kanak-kanak autistik berusia enam tahun itu, dengan cara kemungkinan menyebabkan kecederaan fizikal terhadapnya di sekitar jalan PJU Damansara Damai di sini pada 12 tengah hari, 5 Dis hingga 9.55 malam, 6 Dis 2023.
Pertuduhan mengikut Seksyen 31 (1) (a) Akta Kanak-Kanak 2001 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 31 (1) akta sama dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan, yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM50,000 atau penjara tidak lebih 20 tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Pada 6 Dis 2023, mayat Zayn Rayyan ditemukan di aliran anak sungai berhampiran rumahnya di Apartment Idaman, Damansara Damai dekat sini, selepas dilaporkan hilang sehari sebelumnya.
Kanak-kanak itu dipercayai dibunuh apabila hasil bedah siasat menemukan kesan kecederaan pada leher serta badannya akibat mempertahankan diri.
Perbicaraan bersambung esok.
-- BERNAMA
