KUALA LUMPUR: Bekas Ahli Parlimen Johor Bahru Tan Sri Shahrir Abdul Samad memberitahu Mahkamah Tinggi di sini hari ini bahawa tindakan saman yang difailkannya bukan bertujuan membalas dendam, sebaliknya bagi memastikan kuasa penguatkuasaan digunakan sewajarnya.
Beliau berkata demikian ketika memberi keterangan dalam kes saman difailkannya terhadap bekas Peguam Negara (AG) Tan Sri Tommy Thomas, bekas Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Latheefa Koya, SPRM dan kerajaan berhubung pendakwaan berniat jahat.
“Bukan untuk membalas dendam. Saya membawa tindakan ini kerana kuasa menyiasat, menyita, menangkap dan mendakwa ialah kuasa yang sangat besar.
“Kuasa itu mesti digunakan selepas perkara asas disiasat dengan betul,” kata Shahrir yang merupakan plaintif menerusi pernyataan saksinya.
Shahrir, 76, yang juga bekas pengerusi FELDA berkata jika ada alasan yang sah, sesiapa pun boleh disiasat, termasuk dirinya.
"Saya tidak pernah mengatakan bahawa saya kebal daripada siasatan. Namun pada pandangan saya, siasatan perlu dilakukan dengan lengkap dan adil sebelum seseorang ditangkap dan didakwa atas kesalahan yang serius," katanya.
Shahrir didakwa di Mahkamah Sesyen di sini pada Januari 2020 atas dakwaan gagal mengisytiharkan RM1 juta yang diterimanya daripada bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak kepada Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) dan kes itu dipindahkan ke Mahkamah Tinggi untuk perbicaraan.
Pada 5 Jan 2023, Mahkamah Tinggi membebaskan Shahrir daripada pertuduhan itu selepas pendakwaan memaklumkan tidak berhasrat untuk meneruskan kes berkenaan.
Menurut Shahrir, keputusan pihak pendakwaan itu dibuat susulan keterangan pegawai penyiasat SPRM Nurzahidah Yacop, bahawa beliau tidak menjalankan siasatan untuk menentukan sama ada wang RM1 juta itu merupakan pembayaran ganti balik atau pendapatannya.
"Pertuduhan terhadap saya bergantung kepada dakwaan bahawa RM1 juta itu ialah pendapatan yang saya gagal isytiharkan. Jika belum ditentukan sama ada ia pendapatan atau ganti balik, perkara asas bagi pertuduhan itu masih belum selesai tetapi saya telah diheret ke mahkamah," katanya.
Menurut Shahrir, wang RM1 juta itu bukan pendapatannya, sebaliknya merupakan bayaran balik daripada Najib.
Shahrir berkata pada penghujung 2013, beliau telah membuat temu janji untuk menemui Najib, yang juga Presiden UMNO pada masa itu bagi berkongsi permasalahan berkenaan pemulihan Puri Langkasuka, serta mendapatkan bantuan ganti balik wang simpanan peribadinya yang didahulukan untuk menampung kos projek baik pulih tersebut dan untuk meneruskan menampung kos pemulihan lanjut.
"Saya menerangkan masalah projek itu, keperitan ditanggung para pembeli, usaha-usaha telah dibuat dan wang simpanan peribadi yang telah saya keluarkan untuk menampung projek baik pulih tersebut.
"Setelah mendengar akan usaha yang dibuat, Datuk Seri Najib bersimpati dengan saya lalu memberikan saya sekeping cek berjumlah RM1 juta. Saya memahami cek itu adalah merupakan pembayaran ganti balik terhadap sebahagian wang peribadi yang telah saya dahulukan bagi Puri Langkasuka," katanya.
Perbicaraan di hadapan Hakim Gan Techiong bersambung 4 Sept.
Pada prosiding hari ini, Shahrir diwakili peguam Datuk Firoz Hussein Ahmad Jamaluddin dan Datuk Syed Faisal Al-Edros Syed Abdullah Al-Edros, manakala Thomas diwakili peguam Alan Adrian Gomez dan Haikaldin Mahyiddin.
Tiga defendan lain diwakili Peguam Kanan Persekutuan (SFC) Liew Horng Bin dan Zureen Elina Mohd Dom.
-- BERNAMA