SANDAKAN: Lebih 22 individu di Kampung Segaliud dan 61 di Kampung Sungai Memanjang di sini menjadi mangsa terbaru banjir negeri ini.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kinabatangan, Nurul Azlan Shah Jamaluddin berkata, pihaknya memberikan bantuan kecemasan berkaitan pemindahan selepas panggilan kecemasan diterima jam 8.22 malam tadi.

Menurutnya, sepasukan tujuh anggota dikerah ke lokasi kejadian bagi menjalankan kerja-kerja pemindahan.

"Sebaik tiba, operasi pemindahan segera dijalankan. Mangsa membabitkan enam keluarga, terdiri daripada 13 lelaki dan sembilan perempuan.

"Mangsa ditempatkan buat sementara waktu di Masjid Ar Rahman Kampung Segaliud. 



"Setakat ini, belum ada pusat pemindahan sementara (PPS) diaktifkan di lokasi berkenaan," katanya dalam satu kenyataan pagi ini. 

Nurul Azlan Shah berkata, operasi pemindahan berakhir pada jam 2.57 pagi.

Sementara itu, seramai 61 mangsa terjejas akibat banjir di Kampung Sungai Memanjang.




Susulan itu, sebuah PPS diaktifkan pada jam 2 pagi ini di Masjid Nur Iman Sungai Memanjang.

Menurut pegawai Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Sandakan, Kapten Abdullah Sabaruddin, kesemua 61 mangsa ditempatkan di PPS tersebut.

Ia menjadikan Sandakan daerah terbaru merekodkan mangsa banjir di Sabah, selain Kota Marudu dan Beluran.