Skip to main content

Malaysia

SAR Mohd Rayyan masuk hari ketiga, khidmat Frankie K9 digunakan

JBPM Kelantan menggunakan khidmat anjing pengesan dari Unit K9 yang dikenali sebagai Frankie mengesan Muhamad Rayyan yang dikhuatiri lemas di Sungai Kelantan berhampiran Kampung Batu Mengkebang, Jalan Batu Lada, Aur Duri, Kuala Krai pada Khamis._Sinar Harian
Operasi SAR hari ini diperluas sehingga radius empat kilometer untuk mencari mangsa. - Gambar/ Sinar Harian
Advertisement

KUALA KRAI: Anjing pengesan Frankie dari Unit K9 Ibu Pejabat Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kuala Lumpur turut membantu operasi mencari dan menyelamat (SAR) pelajar Mohd Rayyan Hakimi Mohd Yusmiza, 14, yang dikhuatiri lemas di Sungai Kelantan berhampiran Kampung Aur Duri, di sini.

Penolong Pengarah Bahagian Operasi JBPM Kelantan Mohd Fadhlizil Ikram Ahmad Pauzi berkata SAR yang memasuki hari ketiga hari ini dijalankan di sepanjang pesisir sungai.

“Operasi menumpukan kepada pencarian secara menyelusuri sungai selain kaedah selaman di beberapa lokasi yang dikenal pasti sebagai kawasan tumpuan. Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) turut digerakkan bagi menjalankan operasi selaman,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian di sini hari ini.

Beliau berkata operasi SAR hari ini diperluas sehingga radius empat kilometer, yang melibatkan 63 anggota dan sukarelawan daripada JBPM, Polis Diraja Malaysia, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia, Jabatan Sukarelawan Malaysia serta penduduk kampung.

Sebanyak 12 bot turut digunakan, selain enam anggota PPDA dari Balai Bomba dan Penyelamat Machang, Pengkalan Kubor dan Pengkalan Chepa.

“Operasi mencari dan menyelamat berdepan beberapa kesukaran, terutama arus sungai yang deras serta peningkatan paras air,” katanya.

Sementara itu, bapa mangsa, Mohd Yusmiza Mamat, 42, berkata dia bersama keluarga dan penduduk kampung turut menunaikan solat hajat di lokasi kejadian.

“Sebanyak 20 orang mengadakan solat hajat di lokasi sebagai ikhtiar. Saya harap orang ramai mendoakan agar pencarian anak saya dipercepat dan dia (anaknya) dapat dibawa pulang segera,” katanya.

Mohd Yusmiza berkata dia menerima panggilan mengenai insiden yang menimpa anaknya itu ketika sedang bekerja sebelum bergegas ke lokasi kejadian.

Tinjauan Bernama hari ini, ahli keluarga dan penduduk kampung turut berada di lokasi bagi mengikuti perkembangan terkini operasi pencarian. 

Dalam kejadian pada 6.39 petang, Selasa lepas, Mohd Rayyan Hakimi dan rakannya Luth Naiman Mohd Noraziron, 14, dikhuatiri lemas ketika mandi di sungai itu.

Mayat Luth Naiman ditemukan anggota PPDA pada 9.10 pagi semalam kira-kira 100 meter dari lokasi mereka dilaporkan lemas.

-- BERNAMA

 

 

 

Must Watch Video

Advertisement