KUCHING: Sarawak memerlukan lebih ramai pakar dietetik profesional bagi memastikan sajian seimbang dalam pemakanan seharian, kata Premier Sarawak Tan Sri Abang Johari Tun Openg.
Beliau berkata kehadiran pakar dietetik profesional penting bagi membantu masyarakat memahami kandungan nutrisi dalam makanan serta merancang hidangan yang memenuhi keperluan diet.
“Kita perlukan ramai pakar dietetik profesional supaya makanan yang kita sajikan adalah seimbang. Kadang-kadang kita tidak tahu kandungan dalam makanan kita serta aspek dietnya,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Perhimpunan Tahunan Ke-3 Rangkaian Bandar Kreatif Gastronomi UNESCO (UCCN) di sini hari ini.
Abang Johari turut mengingatkan kepentingan terhadap mengawal pengambilan makanan bagi mengekalkan Indeks Jisim Badan (BMI) pada tahap sihat.
Beliau berkata antara pendekatan yang boleh diamalkan ialah mengurangkan saiz hidangan tanpa mengorbankan rasa makanan, di samping mengurangkan pembaziran.
“Kadang-kadang kita menghidang terlalu banyak sehingga berlaku pembaziran kerana ada yang tidak menghabiskan makanan, mungkin cukup satu pertiga atau separuh daripada kuantiti biasa,” katanya.
-- BERNAMA