Izzuddin Md Salim, 31, dikenakan hukuman itu selepas mengaku atas satu pertuduhan yang dibaca di hadapan Majistret, S Mageswary.
Mahkamah memerintahkan lelaki yang masih bujang itu, dipenjara bermula tarikh tangkap 24 Januari lalu, dan sekiranya gagal membayar denda, dia dikehendaki menjalani hukuman penjara tambahan selama dua bulan.
Mengikut pertuduhan, pemuda itu didakwa menghantar mesej menerusi aplikasi WhatsApp yang mengandungi kata-kata ugutan kepada bekas isteri Harith, iaitu Dr Jezamine Lim, 42, membabitkan keselamatan anak perempuan mereka.
Kesalahan didakwa dilakukan di sebuah restoran nasi lemak, pada jam 8.50 pagi, 23 Januari lalu.
Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Sebelum ini, Sinar Harian melaporkan Harith terpaksa membatalkan program 'Punchline: Harith Iskander 35 Years of Laughter' di Dewan Filharmonik Petronas (DFP) susulan beliau dan ahli keluarga menerima ancaman bunuh.
Ancaman itu dipercayai selepas pelawak terbabit memuat naik hantaran di media sosial yang cuba membuat jenaka mengenai topik ham, yang kemudian mengundang kecaman netizen kerana didakwa membuka ruang mempersendakan agama.
Susulan itu, Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata, seorang suspek berusia 31 tahun ditahan reman bagi membantu siasatan berkenaan.
Razarudin berkata, penahanan itu dibuat susulan pengurus pelawak terbabit yang juga bekas isterinya, Dr Jezamine Lim membuat laporan di Balai Polis Dang Wangi.