Ibu kepada dua anak itu memberitahu, dia meletakkan keyakinan 90 peratus keputusan pada 6 Mac ini akan berpihak kepadanya.
"Saya berharap selepas dibebaskan nanti peminat akan tetap memberikan sokongan dan memberi peluang untuk terus berkarya.
"Jangan cepat menilai. Ini mungkin ujian buat saya untuk menjadi lebih baik," katanya kepada pemberita ketika ditemui di Penjara Wilayah Narathiwat.
Mengulas mengenai projek lagu Bea Sobar Bea Raya yang diganti dengan artis wanita lain, Eda Ezrin memberitahu dia tidak berkecil hati dengan perkara tersebut.
Ujarnya, penggantian itu diharap dapat membuka rezeki kepada rakan artis lain yang turut sama bergiat dalam industri lagu-lagu dialek Kelantan.
"Saya tidak kecil hati, rezeki dia. Insya-Allah selepas dibebaskan nanti ada lagi rezeki untuk saya," katanya.
Dia berharap penggantinya itu dapat lakukan yang terbaik supaya industri lagu-lagu dialek Kelantan terus berkembang.
Media sebelum ini melaporkan, nasib penyanyi wanita sohor Kelantan, Eda Ezrin atau Wan Norshaheeda Azlin Wan Ismail, 30, suami serta empat lagi rakannya akan ditentukan pada 6 Mac ini.
Mahkamah Wilayah Narathiwat di sini pada Jumaat menetapkan tarikh tersebut sebagai keputusan kes penyanyi wanita itu bersama suami, Mohd Affendi Ahmad, 35, serta empat lagi rakan mereka iaitu Mohamad Alif Deraman, 33; Nur Aida Mamat, 33, Zuhaira Nasrin, 26, dan Erdieka Mohd Noor, 33.
Keputusan itu dibuat selepas kesemua saksi pendakwaan dan suspek selesai memberi keterangan selama tiga hari bermula pada 11, 13 dan 14 Februari. - Sinar Harian
