Skip to main content
Advertisement

Malaysia

Sebuah stesen minyak di Nibong Tebal disekat jual RON95 dan diesel bersubsidi - MoF

Lebih 1,000 transaksi pintasan manual melibatkan lebih 100,000 liter petrol bersubsidi bernilai melebihi RM270,000 telah direkodkan di stesen tersebut. - Gambar hiasan
Lebih 1,000 transaksi pintasan manual melibatkan lebih 100,000 liter petrol bersubsidi bernilai melebihi RM270,000 telah direkodkan di stesen tersebut. - Gambar hiasan

Advertisement

Ringkasan AI

  • Kerajaan menyekat sebuah stesen minyak di Sungai Buaya, Nibong Tebal daripada menjual petrol RON95 dan diesel bersubsidi selepas mengesan transaksi mencurigakan.
  • Lebih 1,000 transaksi pintasan manual melibatkan lebih 100,000 liter petrol bersubsidi bernilai melebihi RM270,000 telah direkodkan di stesen tersebut.
  • Sembilan individu termasuk pemilik stesen minyak disekat daripada kemudahan subsidi, dan kerajaan akan terus memantau serta mengambil tindakan tegas terhadap pelanggaran.

KUALA LUMPUR: Kerajaan menyekat sebuah stesen minyak di Sungai Buaya, Nibong Tebal, Pulau Pinang daripada menjual petrol RON95 dan diesel bersubsidi di bawah program BUDI MADANI, susulan pengesanan transaksi mencurigakan yang disyaki melibatkan penyalahgunaan subsidi.

Menurut satu kenyataan daripada Kementerian Kewangan (MoF), tindakan itu diambil selepas beberapa penerima BUDI MADANI mengadu mendapati maklumat MyKad mereka digunakan tanpa pengetahuan untuk membeli petrol bersubsidi.

"Hasil semakan terhadap rekod transaksi stesen minyak itu mendapati lebih 1,000 transaksi menggunakan kaedah pintasan manual (manual bypass) telah direkodkan.

"Transaksi berkenaan melibatkan lebih 100,000 liter petrol dengan nilai subsidi kerajaan melebihi RM270,000," menurutnya. 

Selain menyekat penjualan bahan api bersubsidi, MoF turut menahan bayaran subsidi kepada stesen minyak berkenaan dengan jumlah awal melebihi RM270,000, tertakluk kepada penyelarasan lanjut.

"Sembilan individu, termasuk pemilik stesen minyak dan ahli keluarga mereka disekat daripada menggunakan kemudahan subsidi BUDI MADANI sementara tindakan susulan dilaksanakan.

"Kementerian itu turut mengenal pasti beberapa individu lain yang disyaki mempunyai kaitan dengan kes berkenaan dan sedang meneliti rekod transaksi mereka," ujarnya lagi. 

Menurut kementerian itu, sebarang penyelewengan subsidi menjejaskan matlamat penyasaran bantuan kerajaan, khususnya ketika konflik di Asia Barat terus mengganggu bekalan tenaga dunia dan memberi tekanan kepada harga bahan api.

Kerajaan menegaskan tidak akan berkompromi dan akan mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana stesen minyak atau pengguna yang didapati melanggar garis panduan BUDI MADANI.

Kerajaan juga akan terus memantau transaksi di bawah program berkenaan bagi memastikan subsidi disalurkan kepada golongan yang layak.

Must Watch Video

Advertisement