KUCHING: Semua sekolah menengah dan rendah di bawah seliaan 10 Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) di Sarawak akan dibuka seperti biasa mulai esok selepas bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) menunjukkan keadaan yang membolehkan sesi persekolahan dibuka semula.
Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Sarawak dalam kenyataan hari ini memaklumkan sekolah terlibat ialah di bawah PPD Kuching, Padawan, Bau, Lundu, Samarahan, Simunjan, Serian, Sri Aman, Lubok Antu dan Betong.
Menurut kenyataan itu, keputusan berkenaan dibuat berdasarkan bacaan IPU Portal Rasmi Jabatan Alam Sekitar menerusi Sistem Pengurusan Indeks Pencemaran Udara Malaysia (APIMS) yang direkodkan pada 10 pagi hari ini.
“Sebarang perubahan atau maklumat terkini akan dimaklumkan dari semasa ke semasa,” menurut kenyataan itu.
JPN Sarawak memaklumkan pihaknya sentiasa mengutamakan kebajikan, kesihatan dan keselamatan murid, khususnya ketika berdepan cuaca panas atau keadaan cuaca luar jangka.
Sehubungan itu, pihak sekolah diingatkan supaya menghentikan semua aktiviti luar bilik darjah yang melibatkan murid sekiranya bacaan IPU melebihi 100.
“Sekolah di kawasan atau daerah berkenaan pula hendaklah ditutup serta-merta apabila bacaan IPU melebihi 200, manakala guru dan kakitangan sekolah tidak perlu hadir sekiranya bacaan melebihi 500,” menurut kenyataan itu.
JPN Sarawak memaklumkan pembukaan semula sekolah bergantung kepada bacaan IPU di bawah 200, dengan tindakan persediaan boleh diambil sekiranya trend bacaan menunjukkan penurunan ke paras berkenaan.
Penutupan sementara sekolah juga boleh dilaksanakan berdasarkan saranan Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak (JPBNS) dari semasa ke semasa.
Dalam pada itu, semua PPD dan institusi pendidikan di bawah seliaan JPN Sarawak diingatkan supaya memantau aktiviti yang boleh mendedahkan murid kepada cuaca panas atau jerebu serta memastikan bekalan air minuman bersih mencukupi.
JPN Sarawak turut mengingatkan semua institusi pendidikan supaya mematuhi garis panduan Kementerian Pendidikan (KPM) berkaitan langkah menjamin kesihatan dan keselamatan murid di sekolah yang berada dalam kawasan berjerebu dan dianggap kritikal.
Dalam kenyataan 20 Ogos lepas, JPN Sarawak memaklumkan sebanyak 591 sekolah di bawah seliaan 10 Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) di Sarawak ditutup berkuat kuasa serta-merta pada Khamis dan Jumaat.
-- BERNAMA