Skip to main content

Malaysia

Seludup warga China: Imigresen dapatkan maklumat pihak berkuasa Thailand

61742884949_ZakariaShaaban.jpg
Datuk Zakaria Shaaban berkata pihaknya sedang memantau perkembangan kes berkenaan meskipun setakat ini belum menerima sebarang laporan rasmi berhubung aktiviti itu. - Gambar fail
Advertisement

KUALA LUMPUR: Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) akan bekerjasama dengan pihak berkuasa Thailand bagi mendapatkan maklumat terperinci berhubung dakwaan kewujudan sindiket penyeludupan warga China dari Kemboja ke Malaysia melalui negara jiran itu.

Ketua Pengarah Imigresen Datuk Zakaria Shaaban berkata pihaknya sedang memantau perkembangan kes berkenaan meskipun setakat ini belum menerima sebarang laporan rasmi berhubung aktiviti itu.

"Kita akan dapatkan maklumat lanjut daripada pihak berkuasa Thailand berhubung perkara ini," katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.

Terdahulu, media Thailand melaporkan polis imigresen negara itu menahan dua individu yang didakwa menjadi dalang rangkaian penyeludupan warga China dari sempadan Kemboja melalui Thailand ke Malaysia.

Dalam serbuan di sebuah resort di daerah Na Mom, wilayah Songkhla, pihak berkuasa menemukan enam warga China dan seorang rakyat Myanmar yang dipercayai sedang menunggu masa untuk diseludup masuk ke Malaysia bagi bekerja dalam sindiket penipuan.

Hasil siasatan awal polis Thailand mendedahkan setiap warga asing berkenaan dikenakan bayaran kira-kira 65,000 baht seorang, manakala rangkaian itu dipercayai telah beroperasi lebih setahun dengan nilai peredaran wang dianggarkan antara enam juta hingga 10 juta baht.

Siasatan pihak berkuasa Thailand turut mengenal pasti empat warga Thailand yang dipercayai terlibat dalam rangkaian berkenaan, termasuk individu yang menguruskan perjalanan warga asing dari sempadan Thailand-Kemboja ke Hat Yai sebelum membantu mereka menyeberang ke Malaysia.

-- BERNAMA

Must Watch Video

Advertisement