KUALA LUMPUR: Tiada pengesanan bahan terlarang dalam kalangan juruterbang aktif Malaysia Airlines selepas kesemua mereka selesai menjalani saringan dadah mandatori yang dilaksanakan Malaysia Aviation Group (MAG).
Saringan itu diselesaikan pada Sabtu lalu mengikut tempoh ditetapkan, sebagai sebahagian langkah memperketat tahap keselamatan dan memastikan semua juruterbang berada dalam keadaan sesuai untuk menjalankan tugas.
Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan MAG, Kapten Nasaruddin A Bakar berkata, penyempurnaan saringan berkenaan menjadi asas kepada pelaksanaan pemeriksaan sama terhadap kumpulan operasi lain dalam organisasi.
Beliau berkata, MAG akan memastikan langkah keselamatan berkaitan penyalahgunaan bahan terlarang dilaksanakan secara menyeluruh dan konsisten di semua operasi penerbangannya.
“Fasa pertama ini telah selesai, namun usaha kami tidak berakhir di sini kerana saringan akan diteruskan kepada kumpulan operasi lain dengan piawaian keselamatan yang sama,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Nasaruddin berkata, aspek keselamatan kekal menjadi keutamaan MAG dan setiap langkah yang diambil bertujuan memastikan tahap perlindungan serta standard operasi terus dipertingkatkan.
Katanya, usaha berkenaan turut penting bagi mengekalkan keyakinan penumpang dan pihak berkepentingan terhadap tahap keselamatan operasi syarikat penerbangan.
"Selepas selesai saringan juruterbang, MAG akan memulakan fasa seterusnya melibatkan 2,840 kru kabin Malaysia Airlines bermula esok. Saringan kru kabin itu akan dijalankan secara berperingkat dan disasarkan selesai sepenuhnya pada 3 September ini.
"Dalam pada itu, pemeriksaan sama turut dijalankan terhadap warga kerja Firefly membabitkan 158 juruterbang dan 163 kru kabin," katanya.
Setakat Sabtu, lebih separuh daripada keseluruhan kakitangan terbabit telah menjalani saringan dan semua keputusan yang diperoleh setakat ini adalah negatif.
Sementara itu, Firefly dijangka menamatkan saringan terhadap baki juruterbang dan kru kabin pada 25 Ogos, iaitu lebih awal daripada tarikh akhir 5 September yang ditetapkan Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM).
MAG berkata, program ujian dadah secara rawak juga akan diteruskan secara berterusan sebagai sebahagian usaha mencegah dan membanteras penyalahgunaan bahan terlarang dalam organisasi.
Ujian itu akan dilaksanakan pasukan keselamatan dan kesihatan MAG dengan sokongan serta kerjasama pihak berkuasa berkaitan.
Menurut MAG, langkah tersebut melengkapi rangka kerja kecergasan untuk bertugas yang turut merangkumi saringan sebelum pekerjaan, pemeriksaan perubatan dan latihan berkala.
Ia turut melibatkan ujian alkohol dan dadah secara berkala, pemeriksaan pematuhan wajib sebelum penerbangan serta penilaian kecergasan kru.
MAG menegaskan komitmennya untuk mengekalkan tahap keselamatan dan profesionalisme yang tinggi dalam semua operasi penerbangan, selain memperkukuh langkah pencegahan bagi melindungi pekerja, penumpang dan operasi syarikat.