Pejabat Sultan Selangor dalam kenyataan hari ini memaklumkan pelantikan itu bagi menggantikan Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof yang memohon memendekkan perkhidmatannya atas faktor kesihatan.
Baginda telah memberi perkenan permohonan itu berkuat kuasa 28 Feb.
"Ekoran daripada pengunduran diri Abdul Aziz, Sultan Selangor telah berkenan dan menitahkan supaya Salehuddin mengambil alih jawatan pengerusi MAIS dan melaksanakan tugas serta tanggungjawab sebagai pengerusi MAIS berkuat kuasa 1 Mac 2025," menurut kenyataan itu.
Kenyataan itu menyatakan Sultan Sharafuddin menitahkan pengisian jawatan itu dilaksanakan segera kerana baginda amat mengambil berat pentadbiran dan pengurusan serta pembangunan institusi agama Islam untuk pembangunan dan syiar Islam di Selangor.
Sultan Sharafuddin turut menzahirkan ucapan terima kasih kepada Abdul Aziz kerana telah melaksanakan tugas dan tanggungjawab sebagai Pengerusi MAIS dengan baik dan cemerlang sepanjang tempoh pekhidmatannya sejak 2021.
Baginda juga mendoakan agar Abdul Aziz sentiasa dilindungi Allah SWT serta dikurniakan kesembuhan dan kesihatan yang baik.
Salehuddin, 62, merupakan bekas Ketua Unit Kes Terperingkat/Kepentingan Awam Jabatan Peguam Negara dan dilantik sebagai Ahli Dewan Negara pada 22 Julai tahun lepas untuk tempoh dua tahun.
Beliau berasal dari Perak dan berkelulusan Ijazah Sarjana Muda Undang-Undang dari Universiti Malaya.
Salehuddin juga ialah Ahli Majlis Agama Islam Selangor dari 2007 hingga kini, selain turut memegang jawatan Ahli Dewan Diraja Selangor sejak 2016 dan Ahli Jawatankuasa Khas bagi Mengkaji Kompetensi Dewan Undangan Negeri Untuk Menggubal Undang-Undang Islam bermula 2013.
-- BERNAMA
