Exco Pelaburan, Perdagangan dan Mobiliti Selangor, Ng Sze Han berkata, SIBS 2025 telah ditetapkan sebagai salah satu acara rasmi Sidang Kemuncak ASEAN, mempertemukan pemimpin perniagaan, pembuat dasar dan pakar industri dari seluruh ASEAN bagi meneroka potensi besar pasaran tempatan dan antarabangsa.
Beliau berkata, SIBS 2025 akan menjadi platform utama dalam meningkatkan keterlibatan perniagaan, menarik pelaburan serta mengukuhkan hubungan perdagangan serantau.
"SIBS 2025 telah ditetapkan sebagai acara rasmi Sidang Kemuncak ASEAN, mempertemukan para pemimpin perniagaan, pembuat dasar dan pakar industri dari seluruh ASEAN untuk meneroka potensi besar pasaran tempatan dan antarabangsa,” katanya dalam sidang media pada Selasa.
SIBS 2025 menampilkan enam komponen utama, iaitu Ekspo Antarabangsa Selangor (Makanan dan Minuman), Ekspo Pelaburan dan Perindustrian Selangor (SPARK), Persidangan Perniagaan ASEAN Selangor (SABC), Konvensyen Bandar Pintar dan Ekonomi Digital Selangor (SDEC), Sidang Kemuncak Aeroangkasa Selangor (SAS) serta elemen baharu, Sidang Kemuncak Penjagaan Antarabangsa Selangor.
“Sebagai elemen baharu dalam SIBS 2025, Sidang Kemuncak Penjagaan Antarabangsa Selangor didedikasikan untuk memperkukuh kedudukan Selangor sebagai peneraju serantau dalam ekonomi penjagaan. “
“Acara ini akan menampilkan forum pakar, perbincangan panel dan pameran dengan kira-kira 80 gerai, menghimpunkan pembuat dasar, penyelidik, pelabur, pemimpin industri serta perusahaan sosial bagi memacu inovasi, menggalakkan pelaburan strategik dan mempromosikan pertumbuhan mampan dalam sektor berkaitan.
"SAS 2025 pula adalah acara yang dijenamakan semula, yang dahulunya dikenali sebagai Pameran Penerbangan Selangor. Pada tahun ini, ia akan menampilkan format ekspo serta persidangan dalaman, yang memberi tumpuan kepada sektor deroangkasa, termasuk penerbangan komersial, awam dan perniagaan termasuk industri aeroangkasa," tambahnya
Ng berkata, SIBS 2025 dijangka menarik 50,000 pelawat serta menempatkan lebih daripada 700 gerai pameran. Pihaknya turut menyasarkan nilai transaksi sehingga RM10 bilion, mengukuhkan statusnya sebagai sidang kemuncak perniagaan dan perdagangan terkemuka di Asia Tenggara.
